Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar semua wakil rakyat di negeri itu berhenti bermain politik.

Sebaliknya baginda bertitah agar mereka memberi tumpuan dalam menyelesaikan masalah rakyat, termasuk usaha memulihkan semula ekonomi di negeri itu.

"Cukup-cukuplah kita berpolitik, rakyat dan penat, beta pun dah penat dengar.

“Bangunlah ahli-ahli yang berhormat semua, fikirkanlah masa depan negeri, negara dan masa depan anak cucu kita.

"Jadikan negara Selangor hebat semula seperti mana pada zaman kegemilangan negeri Selangor tidak berapa lama dahulu,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian ketika istiadat pelantikan menteri besar Selangor dan ahli-ahli majlis mesyuarat negeri Selangor (exco) di Istana Alam Shah, Klang hari ini.

Rakyat perlu didahulukan

Baginda bertitah kerajaan perlu menitikberatkan aspek kelancaran dan kelicinan dalam pengurusan pentadbiran dengan mengurangkan aspek birokrasi yang boleh menyusahkan serta membebankan rakyat yang berurusan dengan kerajaan.

"Rakyat perlu sentiasa didahulukan, diutamakan dan dibela dalam segala aspek pembangunan dan pentadbiran kerajaan.

"Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan, rakyat telah memilih ahli-ahli yang berhormat bagi mentadbir negara dan negeri-negeri dengan harapan agar pemimpin yang dipilih ini mengutamakan agenda kemakmuran rakyat agar kekayaan negara dapat dinikmati bersama dan rakyat dapat hidup dengan selesa, makmur sehingga ke generasi akan datang.

"Oleh itu keperluan asas rakyat, pemulihan ekonommi rakyat dan kos sara hidup perlu sentiasa dititik beratkan agar mereka tidak terus dibebani dengan kemelut kemeseletan ekonomi yang begitu mencabar sekarang ini," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah adalah menjadi keutamaan baginda agar kerajaan negeri turut menyelesaikan masalah banjir yang sering melanda negeri Selangor dengan mengemukakan rancangan jangka pandek, panjang dan sederhana.

"Apalah gunanya kita berbangga dengan pencapaian kemajuan ekonomi yang pesat serta status negeri kaya serta kejayaan mencatat KDNK tertinggi di Malaysia seandainya masalah keperluan asas rakyat pun tidak mampu diuruskan dengan baik," titah baginda.

Selain itu, titah baginda, sejak kebelakangan ini, Selangor mula ketinggalan dari segi pelaburan dan nilai eksport barangan berbanding Pulau Pinang, Johor malah Sarawak.

"Kejatuhan ini mungkin tanpa kita sedari dan kita dilihat gagal untuk segera mengatasinya.

“Ahli-ahli Yang Berhormat perlu sedar dengan fakta dan realiti ini, satu tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan ia daripada terus menjejaskan reputasi negeri Selangor sebagai penyumbang utama ekonomi Malaysia.

"Beta menaruh harapan yang tinggi untuk Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian bagi memberi perkhidmatan yang cemerlang dengan turun ke padang bagi melihat sendiri keadaan pembangunan yang dirancang dan sedang berjalan," titah baginda.