Seruan aktivis Arun Dorasamy agar pengundi India tidak keluar mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 12 September ini disifatkan sebagai “publisiti murahan” dan hanya akan merencatkan proses pilihan raya.

Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama Amidi Abdul Manan dalam satu kenyataan berkata seruan memboikot PRK itu tidak sewajarnya dikaitkan dengan tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengislamkan seorang pemuda baru-baru ini.

“Seruan yang jelas mencari populariti murahan dengan cubaan mengaitkan hak asasi rakyat Malaysia yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan untuk menganut agama yang diyakininya,” katanya dalam kenyataan tersebut hari ini.

Terdahulu, Arun membuat gesaan agar masyarakat India memboikot PRK pada 9 September ini sebagai tanda protes mereka terhadap tindakan presiden PKR itu.

Amidi berkata pihaknya memandang serius berhubung seruan yang dibuat Arun itu.

“Seruan ini hanya akan merencatkan dan mencacatkan proses pilihan raya sekaligus mengancam sistem demokrasi yang menjadi landasan kepada pentadbiran negara.

“Islam meraikan kepelbagaian agama apabila dengan jelas al-Quran menegaskan tiada paksaan dalam menganut mana-mana agama, dan telah jelas jalan yang benar dan salah.

“Itulah semangat dalam pengislaman yang dilakukan oleh perdana menteri, iaitu setelah individu terbabit menyakini dengan sepenuh hati kebenaran agama Islam maka dianuti dengan kerelaan hatinya,” katanya.

Arun Dorasamy

Selain Arun, Anwar turut menerima kritikan daripada bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang II P Ramasamy dan Presiden Yayasan Hak Asasi Manusia Global S Shashi Kumar.

Namun, beberapa pihak lain turut tampil mempertahankan Anwar termasuk bekas menteri Umno Khairy Jamaluddin.

Ketua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) daerah Klang, Hushim Salleh sebelum ini turut tampil menjelaskan bahawa Anwar mengislamkan pemuda berkenaan di Masjid Jamek Ar-Rahimiah di Klang atas permintaannya.

Menurutnya, perkara itu berlaku secara spontan dan tanpa dirancang apabila Anwar menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.