Nassuruddin mahu jumpa Anwar dalam masa terdekat
Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud hari ini menyatakan hasratnya untuk mengadakan kunjung hormat ke atas Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Menurutnya pertemuan itu akan cuba diadakan dalam masa terdekat.
Menurut Mohd Nassuruddin ketika ini proses pilihan raya negeri sudah selesai dan tiada lagi "isu politik" yang patut timbul di antara parti-parti terbabit.
“Sekarang adalah (masa untuk) hubungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat.
"Kita di Kelantan sejak dulu lagi baik dengan kerajaan pusat dan kita akan kekalkan hubungan baik berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat exco di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini.

Terdahulu Mohd Nassuruddin mengumumkan barisan exco kerajaan negeri dan senarai portfolio masing-masing.
Ditanya mengenai perancangan dalam sektor ekonomi negeri, Mohd Nassuruddin menegaskan, kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan sumber asli khususnya hasil mineral dan infrastruktur.
“Kerajaan akan mengukuhkan sektor ekonomi melalui infrastruktur terutama pelabuhan, jaringan lebuh raya Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Selain itu kerajaan negeri akan mencari kaedah terbaik bagi meningkatkan hasil sumber asli terutama mineral.
“Kemudian akan memanfaatkan kepakaran anak-anak Kelantan dan meningkat hubungan strategik Kelantan dengan negara-negara luar dalam bidang pendidikan dan ekonomi,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/0fedd450dae006c9f8c871a31f85ea37.jpg)
