Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kedah juga guna logo, tema sama dengan k’jaan pusat
Diterbitkan:  Aug 23, 2023 4:55 PM
Dikemaskini: 9:10 AM

Selepas Kelantan dan Terengganu, Kedah juga hari ini mengumumkan menggunakan logo dan tema sama seperti yang digunakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi sambutan hari kebangsaan ke-66.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata logo dan tema itu tidak menjadi masalah kepada kerajaan negeri.

"Kita ikut (logo dan tema) Persekutuan sama macam Terengganu. Pendirian kita tak ada isu dalam logo dan tema yang sama kerana sambutan peringkat kebangsaan, jadi negeri ikut sahaja,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco pertama penggal ini di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

Dia bagaimanapun menjelaskan keputusan berkenaan bukan bermakna kerajaan negeri yang diterajui oleh Perikatan Nasional (PN) itu bersetuju dengan kerajaan Madani atau perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tetapi lebih mementingkan semangat patriotik di kalangan rakyat.

"Mereka boleh letak apa (tema) pun kerana hati kita macam kita juga.

“Yang penting patriotik, slogan yang lepas pun kita lupa, lepas ini kita lupa, bukan kita nak ikut Pakatan Harapan (PH), tapi dijadikan slogan nasional maka ikut saja," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari memperkenalkan logo alternatif bagi sambutan itu, iaitu berdasarkan bunga raya, yang merupakan bunga kebangsaan, dengan lima kelopak dan menggunakan warna Jalur Gemilang.

Katanya, empat negeri di bawah pentadbiran PN mungkin menggunakan logo dan tema hari kebangsaan berbeza untuk sambutan peringkat negeri.

Tema yang ditetapkan pula adalah "Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera" dan bukannya 'Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan' yang digunakan di peringkat persekutuan.

Pada Ahad lalu, kerajaan Terengganu yang diterajui oleh PAS juga mengumumkan tidak akan menggunakan tema dan logo alternatif, yang dicadangkan.

Sebaliknya Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar berkata mereka akan menggunakan tema sama seperti di peringkat persekutuan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohamed Fadzli Hassan juga mengumumkan, hari ini bahawa mereka akan menggunakan tema sama seperti di peringkat persekutuan.

Bagaimanapun katanya tema ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ itu akan ditambah dengan ‘Membangun Bersama Islam’.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS