Pemeriksaan tahap 4 pada produk makanan dari Jepun
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengenakan pemeriksaan tahap 4 (pengawasan) terhadap produk makanan berisiko tinggi yang diimport dari Jepun untuk analisis kandungan bahan radioaktif.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata ia susulan makluman pelepasan sisa air radioaktif terawat Fukushima secara berperingkat bermula esok oleh pihak berkuasa Jepun.
Katanya berdasarkan data KKM, dalam tempoh 2022 hingga Jun lalu, produk makanan ikan dan hasilan ikan adalah antara produk tertinggi diimport dari Jepun.
Ia disusuli dengan produk buah-buahan, sayur-sayuran dan selebihnya makanan dan minuman terproses, dengan nilai keseluruhan RM880,115,437.
“KKM peka dan prihatin terhadap keresahan pengguna mengenai perkara ini.
"KKM sentiasa menjalankan pemantauan di pintu masuk negara dan pasaran tempatan bagi memastikan keselamatan makanan terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Muhammad Radzi berkata sebelum ini, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM menjalankan pemantauan ke atas produk makanan diimport dari Jepun mulai Mei 2011 hingga April 2012.
Ia dibuat selepas insiden letupan loji nuklear akibat gempa bumi yang berlaku di Fukushima pada 2011.
"Satu program pemantauan khusus turut dijalankan pada 2019 dengan 102 sampel dianalisis dan kesemua sampel didapati tidak melebihi kadar yang telah ditetapkan," katanya.
Berdasarkan laporan akhbar tempatan, pelepasan sisa air radioaktif terawat Fukushima mulai esok adalah mengikut piawaian keselamatan Jepun yang akan dilaksanakan secara berperingkat.
Iajuga mendapat kelulusan daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada 4 Julai lepas.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/05/c626b20d4c66bdabd6bc01bf4780061a.jpg)
