Kerajaan akan memperuntukkan RM5 juta bagi program Kepimpinan Digital Eksekutif (EDL) yang dijalankan dengan kerjasama strategik antara Kementerian Ekonomi melalui agensinya MyDIGITAL Corporation dan Asia School of Business /MIT Sloan Management, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

“Ini sebagai kos permulaan bagi menyediakan kemudahan diperlukan, dan selepas kohort pertama dijalankan pada Nov, kerajaan akan mendapat gambaran kepada peruntukan yang diperlukan pada tahun-tahun yang akan datang,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pemeteraian Program EDL di Kuala Lumpur hari ini, Rafizi berkata program selama tiga bulan yang menawarkan pengalaman pembelajaran dikendalikan oleh ASB dan MIT Sloan itu adalah antara usaha kerajaan membina ekonomi digital yang berdaya saing.

Menurutnya pengurusan kanan sektor awam dan swasta yang menyertai EDL akan mengikuti modul yang dikendalikan oleh rakan strategik teknologi untuk mengetahui bagaimana syarikat teknologi dunia dibangunkan dan diuruskan, terutamanya dalam menjana inovasi dan kreativiti.

“Antara rakan strategik bagi program ini adalah Amazon Web Services, Google Cloud, IBM, Microsoft, dan Shopee,” katanya.

Selain itu, Rafizi berkata program tersebut dirangka untuk mendayai pengurusan tertinggi sektor awam dan swasta dengan kemahiran yang diperlukan untuk mengemudi ekonomi digital, mengembangkan proses pendigitalan dalam sektor awam dan swasta serta mengharmonikan dasar kementerian dan agensi kerajaan untuk memenuhi kehendak pendigitalan dan penggunaan teknologi.

Rafizi berkata, ia berikutan kemajuan ekonomi digital memerlukan pemberdayaan sektor awam melalui pemodenan perkhidmatan awam menggunakan aplikasi teknologi dan data (govtech).

“Negara memerlukan kepimpinan kementerian-kementerian yang mempunyai kepakaran digital yang tinggi supaya dasar dan inisiatif kerajaan berteraskan pendekatan digital dan teknologi, terutamanya dalam melaksanakan peralihan kepada govtech,” katanya.

Sehubungan itu, Rafizi berkata terdapat keperluan segera untuk menawarkan program kepimpinan digital kepada penjawat awam dan swasta di peringkat pengurusan tertinggi.

Permohonan kini dibuka kepada pihak yang berminat dan maklumat lanjut boleh dilayari di https://www.mydigital.gov.my/executive-digital-leadership-programme/.

- Bernama