Paling Popular
Terkini

Ketika Pemuda Umno mengadakan perhimpun khas bagi merungkai masalah dalaman parti itu, Wanita Umno pula memilih untuk menunjukkan kebersamaam mereka dengan Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka hari ini.

Himpunan Solidariti Wanita Bersama Presiden Umno itu diadakan di ibu pejabat parti terbabit sebagai cara menunjukkan sokongan serta mempertahankan kepimpinan presiden mereka.

Bertempat di Dewan Tun Hussein Onn Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, sayap Wanita yang dipimpinan Noraini Ahmad secara sebulat suara menyatakan sokongan kepada Ahmad Zahid selalu pemimpin tertinggi.

Dianggarkan lebih 1,000 orang perwakilan Wanita Umno dari seluruh negara berkumpul menyatakan sokongan kepada Ahmad Zahid.

Mereka yang hadir membawa plakad tanda sokongan serta menyertai bacaan ikrar mempertahankan institusi presiden parti itu.

Pada majlis itu juga, beberapa perwakilan yang berucap menyeru ahli Umno supaya mencontohi parti lawan termasuk PAS yang sentiasa mempertahankan kepimpinan parti meskipun ketika tewas.

Pada asalnya Ahmad Zahid tidak dijadualkan hadir di program berkenaan.

Bagaimanapun ahli parlimen Bagan Datuk itu membuat kemunculan mengejut dan kedatangannya disambut sorakan gemuruh daripada semua perwakilan.

Ahmad Zahid juga menerima gelaran "ayahanda" secara rasmi daripada Wanita Umno pada perhimpunan itu.

"Saya ayahanda bukan ayah, secara rasmi mulai hari ni (saya) ayahanda," kata Ahmad Zahid.

Lihat Komen
ADS