Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Nur Jazlan Mohamed menyarankan agar PAS mentarbiah parti sekutu mereka dalam PN agar tidak membantah rancangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melaksanakan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

Menyifatkan sikap PAS berhubung perkara berkenaan ketika ini sebagai berat sebelah, Nur Jazlan mempersoalkan mengapa parti itu berdiam diri apabila Gerakan membantah rancangan KPM itu.

“Cuma saya tak boleh terima sikap double standard dan perbuatan PAS yang setiap kali tunggang isu agama bila ada kepentingan politik.

“Kenapa PAS tak tarbiahkan sekali pemimpin dalam Gerakan seperti mana yang mereka duduk sembang selama ini nak menegakkan ajaran Islam kepada parti bukan Islam dalam PN?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu KPM menyatakan rancangannya melaksanakan modul tersebut di 61 sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan 228 sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) seluruh negara.

Malaysiakini edisi bahasa Cina pada 24 Ogos lalu melaporkan Gerakan membantah pelaksanaan dirangka KPM kerana menganggap ia melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Gerakan Dominic Lau berpendapat langkah KPM berkenaan bercanggah dengan prinsip negara, selain mengancam keharmonian kepelbagaian budaya dan agama di Malaysia.

Elak munafik politik

Kata Nur Jazlan PAS akan pantas untuk menghentam Umno apabila isu membabitkan kerjasama dengan DAP dalam kerajaan persekutuan dibangkitkan.

Reaksi sama, katanya, turut ditunjukkan PAS dalam isu melibatkan berakhirnya kerjasama mereka dengan Umno melalui Muafakat Nasional sebelum ini.

Ketua Umno Bahagian Pulai itu turut berkata Gerakan menunjukkan sikap ekstrem dalam beberapa isu lain yang membabitkan Islam, seperti mereka mengemukakan saman apabila PAS Kelantan mahu melaksanakan hukum hudud.

Gerakan, katanya, juga membantah pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi pada buku-buku teks sekolah sebelum ini.

“Saya nak tanya, ke mana perginya kumpulan ulama dan pak lebai dalam PAS apabila sahabat mereka dalam PN, Gerakan, beria-ia bantah cadangan pelaksanaan Modul Penghayatan 40 hadis Imam Nawawi untuk pelajar Islam?

“Bila parti bukan sekutu mereka (MCA) bantah, wahhh, bukan main laju lagi pak lebai keluarkan kenyataan (bahawa) tak wajar orang bukan Islam buat bantahan kerana perasaan Islamfobia,” katanya.

Nur Jazlan turut menegaskan pendiriannya bahawa MCA juga tidak sewajarnya campur tangan dalam isu berkenaan kerana ia tiada kaitan dengan pelajar bukan Islam.

“Janganlah bawa kemunafikan politik dalam isu agama semata-mata untuk kepentingan kuasa dan kedudukan,” katanya.