Nalla keluar PKR kerana pinggirkan masyarakat India
Datuk S Nallakaruppan hari ini mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuatkuasa serta-merta tetapi enggan menyatakan rancangan politiknya selepas ini.
Datuk S Nallakaruppan hari ini mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuatkuasa serta-merta tetapi enggan menyatakan rancangan politiknya selepas ini.
Bercakap di majlis yang dihadiri oleh kira-kira 100 penyokong setianya di sebuah hotel di Kuala Lumpur, Nalla mendakwa parti itu telah meminggirkan masyarakat India.
"Saya kecewa parti itu telah meminggirkan masyarakat India dan ia menjadi punca saya mengambil keputusan meninggalkan parti itu," katanya.
Kenyataannya itu mengesahkan laporan eksklusif malaysiakini sebelum ini, mengenai keputusannya untuk meninggalkan parti pembangkang itu.
"Saya mengumumkan keputusan saya untuk keluar dari parti itu. Mengenai rancangan saya selepas itu, saya akan berbincang dengan keluarga, penyokong dan rakan-rakan saya sebelum mengumumkannya," kata beliau.
Isterinya, Datin M Vijayakumari dan tiga anak mereka turut hadir ketika beliau membuat pengumuman tersebut.
Nalla juga berkata beliau telah menerima banyak tawaran daripada parti-parti politik lain, tetapi enggan menamakannya.
"Ada banyak parti. Gerakan ada, begitu juga dengan PPP dan DAP. Saya mungkin menubuhkan parti saya sendiri," katanya berseloroh.
Nalla juga menyuarakan kekecewaannya terhadap peranan yang dimainkan sahabatnya, yang juga penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebabkan beliau (Nalla) menarik diri daripada bertanding jawatan naib presiden.
"Beliau (Anwar) berkata beliau tidak campurtangan (dalam urusan parti). Tetapi beliau menelefon saya dan meminta saya menarik diri daripada bertanding (naib presiden). Itu adalah campurtangan," katanya.
'Ramai akan ikut jejaknya'
Nalla yang mendakwa beliau telah membawa masuk hampir 10,000 ahli dari kalangan India ke dalam PKR berkata, ramai daripada penyokongnya itu akan menurut jejaknya meninggalkan parti itu, tetapi beliau tidak pasti jumlahnya.
Menjawab soalan seorang penyokongnya yang bertanya mengapa beliau (Nalla) menyertai PKR sedangkan Anwar didakwa tidak berbuat apa-apa untuk masyarakat India ketika menjadi timbalan perdana menteri, Nalla berkata "semua orang harus diberi peluang kedua".
"Jika seseorang itu jatuh, dia mesti bangun. Dia akan habis jika tidak berbuat demikian," katanya, sambil menambah, beliau (Nalla) menyertai PKR kerana percaya Anwar akan berbuat sesuatu untuk masyarakat India "selepas kejatuhannya sebelum ini".
"Kini bila saya sedar bahawa beliau tidak berbuat apa-apa pun (untuk masyarakat India), maka saya mengambil keputusan untuk meninggalkan parti itu," katanya sambil menambah, beliau akan terus membantu masyarakat India.
Sembilan pemimpin India dalam PKR turut meninggalkan parti itu bersama-sama Nalla.
Mereka termasuk ketua penerangan PKR Selangor yang juga ketua bahagian Klang, P Krishnasamy; timbalan pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, yang juga ketua bahagian Segambut, S Maniselvam (foto) dan naib ketua PKR Bandar Tun Razak, M Ganesan. Berita asal

