NGO Pasir Salak Bangkit akan pantau dasar k'jaan berkaitan Melayu
Bekas ahli majlis tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman berkata dia merasakan keperluan untuk membentuk NGO baru bagi memperjuangkan hak Melayu kerana kumpulan lain yang memperjuangkan perkara yang sama tidak dapat mencapai banyak kejayaan pada masa lalu.
Dia juga menyorot bahawa organisasi kumpulan pendidik Cina Dong Zong telah mencapai kemajuan besar dalam memartabatkan pendidikan, budaya dan bahasa komuniti mereka.
"Tetapi kita, mana NGO Melayu sekarang yang kononnya nak jadi platform membela bangsa, ada la dengar sikit-sikit tetapi itu pun tidak mencapai apa-apa, hanya cakap sahaja.
"Bukanlah bermaksud kita menentang program NGO untuk menolong bangsa lain, itu mereka buatlah. Cumanya kita ini sudahlah tenaga kurang dan kalau tidak digunakan sumber-sumber yang ada untuk membela orang Melayu, apa yang tinggal kepada kita sedangkan NGO mereka lagi hebat," katanya, seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini .
Bekas ahli parlimen Pasir Salak itu memberi jaminan NGO barunya, Pasir Salak Bangkit akan menumpukan usaha memperjuangkan hak orang Melayu dan tidak akan digunakan untuk kepentingan peribadi.
Dia berkata NGO itu akan memantau pelaksanaan dasar dan program kerajaan berkaitan kepentingan masyarakat Melayu.
"Kita sebagai NGO yang bukan sembarangan, ini NGO yang nak membela nasib rakyat terutama orang Melayu yang masih ketinggalan.
"Jadi bukannya nak syok sendiri, kita tak mahu NGO ini sebagai tempat untuk memuaskan emosi ataupun nafsu peribadi yang hanya gilakan publisiti dan jawatan," kata Tajuddin.
Dia dilaporkan bercakap kepada pemberita ketika menghadiri Himpunan Melayu Bangkit di Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak malam tadi.
Perhimpunan itu dihadiri kira-kira 2,000 orang.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/06/092c8754c67257d4a29b2b389cf901c6.jpg)
