Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan tanpa melepaskan (DNAA) Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi adalah bukti bahawa dia adalah mangsa penindasan politik, kata Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam satu kenyataan, Asyraf mendakwa bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas partinya Bersatu atas pertuduhan yang dikenakan pada 2018.

"Sejak dari awal Umno yakin dan percaya bahawa Zahid adalah mangsa pendakwaan politik yang dilakukan ketika Dr Mahathir Mohamad dilantik kali kedua sebagai perdana menteri ketujuh sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Lebih mendukacitakan, kezaliman terhadap Zahid berlaku hanya beberapa minggu selepas Mahathir selaku pengerusi Bersatu waktu itu mengancam supaya presiden Umno membubarkan parti itu dalam pertemuan yang diakui sendiri olehnya dalam satu temuramah media.

"Ini diperkukuhkan lagi dengan pendedahan berani dan berbaur angkuh bekas peguam negara lantikan Tommy Thomas dalam buku memoirnya 'My Story: Justice in the Wilderness' yang dengan *jelas memperakui terlibat langsung dalam mengatur beberapa pendakwaan terpilih terhadap individu-individu politik berpengaruh bersama Mahathir waktu itu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Asyraf berkata keadaan bertambah buruk apabila pengganti Mahathir, Muhyiddin Yassin mengambil alih dan melantik peguam negara baharu, Idrus Harun, dan ketua SPRM baharu, Azam Baki.

“Walaupun kedua-dua peguam negara dan ketua pesuruhjaya SPRM dikekalkan oleh perdana menteri ke-10, akhirnya mereka melakukan keputusan yang betul dengan memberhentikan pendakwaan tersebut,” katanya.

Sepanjang Oktober 2018 dan Februari 2019, pihak pendakwaan mengemukakan 47 pertuduhan terhadap Zahid atas tuduhan rasuah melibatkan dana Yayasan Akalbudi - sebuah badan amal yang diasaskan dan diterajuinya.

Pada Januari tahun lalu, Zahid diperintahkan untuk membela diri atas 12 pertuduhan pecah amanah (CBT) mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan; lapan pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009; dan 27 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagaimanapun, pada 8 Disember tahun lalu dan 25 Jan tahun ini, pasukan pembelaan telah mengemukakan dua surat representasi kepada Peguam Negara Idrus Harun untuk mendapatkan semakan semula kes rasuah itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan petisyen pendakwaan untuk DNAA hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, dengan keputusan hari ini semakin jelas kerakusan kepimpinan Mahathir dan Bersatu yang sanggup menganiayai pemimpin-pemimpin Umno termasuk Zahid dengan memperkakaskan institusi-institusi perundangan di negara ini demi gelojak nafsu dan dendam untuk menghancurkan Umno.

Katanya, besarlah harapan Umno agar titik-titik hitam dalam sejarah perundangan negara sehingga sistem dan institusi keadilan negara begitu mudah diperalatkan hingga membawa kepada ketidakstabilan politik negara mestilah dinoktahkan.

"Umno berpendirian tegas agar di bawah Kerajaan Perpaduan Malaysia ini, segala pendakwaan politik yang memperalatkan institusi-institusi yang menjadi benteng kepada sistem keadilan negara tidak lagi berulang. 

"Jabatan Peguam Negara dan SPRM mesti terus bebas dan berani melaksanakan amanah mereka melaksanakan keadilan tanpa rasa takut dan pilih kasih terhadap mana-mana pihak termasuklah terhadap pimpinan Umno dan ahli-ahli Umno sendiri," katanya.