Di sebalik jadual yang ketat sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 dan sidang-sidang kemuncak di Jakarta bermula hari ini hingga Khamis, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sempat bertemu dan bertukar-tukar pandangan dengan 11 pertubuhan Islam di negara itu.

Menerusi satu hantaran di Facebook, dia sempat berdiskusi dan bertukar pandangan dengan para pimpinan gerakan dan pertubuhan Islam di Indonesia semalam. 

“Pertemuan ini amat bermakna tatkala kami mengimbau garis sejarah permulaan saya sebagai aktivis yang pernah belajar dari hikmah tokoh Islam Indonesia seperti Bapak Mohammad Natsir dan Buya Hamka.

“Dalam perbincangan ini, kami banyak menyentuh tentang pemikiran, keilmuan, dakwah dan isu yang dihadapi dunia Islam. 

“Siri pertemuan dan diskusi seperti ini akan terus disemarakkan demi memperkukuh kerjasama erat Malaysia dan Indonesia serta terus memelihara persaudaraan antara gerakan dan pertubuhan Islam dari kedua-dua negara,” katanya

Antara yang ditemuinya, semalam termasuk Ketua Umum Muhammadiyah, Bapak Haedar Nashir; Ketua Umum Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia (DDII), Dr Adian Husaini dan Profesor Din Syamsuddin serta Ketua Muslimat Nadhatul Ulama (NU) serta Gabenor Jawa Timur, Ibu Khofifah Indar Parawansa.

Dalam catatannya, Anwar berkata, siri pertemuan dan diskusi seperti itu akan terus disemarakkan demi memperkukuh kerjasama erat Malaysia dan Indonesia serta memelihara persaudaraan antara gerakan dan pertubuhan Islam dari kedua-dua negara.

Perdana Menteri yang tiba di Jakarta bersama isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam, akan mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak itu dari 5 hingga 7 Sept iaitu yang kedua dihadirinya selepas Sidang Kemuncak Asean Ke-42 di Labuan Bajo.

Ini adalah sidang kemuncak pertama beliau bersama tujuh Rakan Dialog Asean iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada.

Semasa persidangan itu, 11 pertemuan dua hala telah dijadualkan termasuk dengan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese, Naib Presiden Amerika Syarikat Kamala Harris, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida.