Bacaan indeks pencemaran udara (IPU) “tidak sihat” yang direkodkan di Shah Alam hari ini berpunca daripada pembakaran terbuka berhampiran stesen pengawasan kualiti udara, kata Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Wan Abdul Latiff Wan Jaafar
Menurutnya kebakaran tersebut mempengaruhi bacaan kualiti udara di stesen berkenaan, yang merekodkan bacaan IPU setinggi 152 pagi ini walaupun semua stesen lain di Semenanjung Malaysia merekodkan bacaan "Baik" atau "Sederhana".
Bacaan 0 hingga 50 dikategorikan sebagai "Baik", 51 hingga 100 adalah "Sederhana", manakala 101 hingga 200 dianggap sebagai "Tidak Sihat".
Menurut Wan Abdul Latiff, bacaan tidak sihat yang direkodkan di beberapa tempat di Sarawak pula berpunca daripada asap jerebu akibat "titik panas" yang dikesan oleh satelit di Kalimantan.
"Pergerakan angin dari arah tenggara telah membawa asap jerebu dari kawasan barat Kalimantan ke selatan Sarawak dan menyebabkan peningkatan kepada bacaan IPU di kawasan-kawasan tersebut," katanya merujuk kepada stesen pengawasan kualiti udara di Kuching dan Serian.
Katanya, secara keseluruhan imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) yang dikendalikan AS mengesan titik panas di Sumatera dan 55 di Kalimantan.
Empat titik panas di Sabah, Sarawak
Di Malaysia, katanya, satelit itu juga telah mengesan empat titik panas di Sabah dan empat di Sarawak.
"Titik panas yang dikesan di dalam negara disiasat dengan lebih lanjut oleh pegawai di JAS Negeri," ujar Wan Abdul Latiff.
Menurutnya lagi, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan-tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan jerebu.
"JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa,' katanya.
Wan Abdul Latiff juga menasihati pemilik tanahagar memantau secara rapi kawasan-kawasan yang mudah dan sering terbakar serta mengambil langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Ini katanya termasuk tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri.
"Mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
"Kompaun maksimum sebanyak RM 2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan," ujarnya.
