Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puad cabar Muda tarik sokongan agar terbukti 'anak jantan tulen'
Diterbitkan:  Sep 7, 2023 10:30 AM
Dikemaskini: 3:31 AM

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi hari ini mencabar Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk melaksanakan 'amaran' mereka terhadap kerajaan.

Bahkan Mohd Puad juga menganggap langkah tersebut boleh buktikan amaran Muda benar-benar “anak jantan yang tulen” atau sebaliknya.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, Mohd Puad menyifatkan amaran Muda beberapa hari lalu sebagai satu ugutan kerana tidak diterima menyertai PH sebelum ini.

“Parti Muda tidak perlu beri amaran untuk tarik sokongan atau turun ke jalan raya. Tarik sahaja sokongan kalau Muda anak jantan tulen.

“Lagipun Muda secara tidak rasmi sudah keluar dari kerajaan perpaduan.

“Muda bertanding solo di PRN enam negeri, semua hilang deposit. Muda yang langgar red line," katanya.

Mohd Puad yang juga speaker Dewan Undangan Negeri Johor menambah Muda tidak perlu menjadikan kes Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini sebagai 'ugutan' untuk membolehkan parti itu diterima masuk PH.

Kenyataan Mohd Puad itu hadir selepas Muda pada 5 Sept lalu memberitahu mereka akan menilai semula sokongan terhadap kerajaan serta mungkin turun ke jalan raya jika tiada penjelasan diberikan dalam kes mahkamah Ahmad Zahid.

Untuk rekod, kerajaan kini disokong oleh 148 daripada 222 anggota parlimen, dan ia merupakan jumlah asas untuk membentuk majoriti dua per tiga dalam Dewan Rakyat.

Pada 4 Sept, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Langkah itu diambil hakim Collin Lawrence Sequerah selepas pihak pendakwaan sendiri memohon untuk memberhentikan prosiding dengan memberikan 11 alasan.

Permohonan itu dibuat timbalan pendakwa raya Mohd Dusuki Mokhtar.

Ketika ini Muda mempunyai seorang wakil di Dewan Rakyat iaitu presiden parti itu sendiri, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang memenangi kerusi parlimen Muar pada PRU lalu.

Muda juga mempunyai seorang wakil dalam DUN Johor apabila Amira Aisya Abd Aziz memenangi kerusi Wangsa Puteri dalam PRN negeri itu pada awal tahun lalu.

Kata Mohd Puad, Muda tidak perlu menunggu apa-apa penjelasan pun sebelum mengambil langkah berkenaan.

"Rupa-rupanya Muda juga malas baca 11 alasan pendakwa raya," katanya.

Mohd Puad juga mencadangkan supaya Syed Saddiq mengosongkan kerusi parlimennya.

“Daripada ugut kerajaan hilang majoriti dua per tiga elok Syed Saddiq kosongkan kerusi. Bolehkah Muar dan (DUN) Puteri Wangsa menang tanpa sokongan PH?

“Confirm tidak berani (tarik sokongan). Cuma mengugut,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS