61 pusat mengundi di Pulai, Simpang Jeram dibuka pagi ini
Enam puluh satu pusat pengundian dengan 362 tempat mengundi atau saluran dibuka serentak bermula 8 pagi ini, sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Ia membabitkan 47 pusat pengundian di Parlimen Pulai manakala baki 14 pusat pengundian lagi di DUN Simpang Jeram. Ia dijadualkan ditutup pada jam 6 petang.
Berdasarkan data terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikeluarkan semalam, seramai 205,810 pengundi berdaftar boleh menunaikan tanggungjawab pada hari ini.
Ia melibatkan 165,509 pemilih berdaftar bagi Parlimen Pulai, sementara DUN Simpang Jeram melibatkan 40,301 pengundi. Mereka akan memilih wakil rakyat baru untuk menggantikan penyandangnya Allahyarham Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu.
Pengundian awal PRK Pulai telah berlangsung pada 5 Sept lalu yang menyaksikan 831 pegawai dan anggota polis melaksanakan tanggungjawab mereka.
Berdasarkan maklumat daripada SPR, sebanyak 90 peratus daripada mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Bagaimanapun, tiada pengundian awal untuk kerusi DUN Simpang Jeram.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, masing-masing akan menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon PH, PN dan bebas.
PH mencalonkan bekas speaker, Suhaizan Kaiat di Pulai dan berdepan cabaran daripada Zulkifli Jaafar (PN) dan Samsudin Mohamad Fauzi (Bebas).
Sementara itu di Simpang Jeram Nazri Abdul Rahman mewakili PH, Dr Mohd Mazri Yahya pula wakil PN dan S Jeganathan menjadi calon bebas.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/11/cb3b3c2c3e75688e97a37a30cd38262c.jpg)
