Legasi khidmat cemerlang arwah Salahuddin diterima rakyat - Saifuddin
Kemenangan Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram merupakan tanda rakyat menerima rekod cemerlang Allahyarham Salahuddin Ayub.
Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail turut berkata ia juga menandakan rakyat semakin menerima pendekatan kerajaan perpaduan di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
"(Kemenangan PRK Pulai dan Simpang Jeram), isyarat jelas legasi khidmat cemerlang arwah Salahuddin diterima rakyat dan kini diteruskan ahli parlimen dan Adun baru.
"Rakyat semakin menerima pendekatan Madani kerajaan perpaduan.
"Ini isyarat rakyat juga mahukan perdana menteri dan kerajaan fokus pemulihan ekonomi, bantu rakyat yang terpinggir dan amal tatakelola yang bersih diteruskan," katanya kepada Malaysiakini.
Semalam, PH berjaya mengekalkan kerusi parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Calon PH Suhaizan Kaiat memenangi kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti 18,641 undi. Sementara, di DUN Simpang Jeram, calon PH Calon Nazri Abdul Rahman mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 3,514 undi.
Kedua-dua kerusi tersebut disandang oleh Allahyarham Salahuddin yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu.
Sementara itu, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata rakyat semakin menolak Perikatan Nasional (PN) yang didakwa suka mengeksploitasi isu perkauman.
"Rakyat mula menyedari tohmahan blok pembangkang itu yang cuba memecahbelahkan imej kerajaan perpaduan.
"Sekaligus menolak pendekatan politik usang dibawa PAS dan Bersatu fitnah dan permusuhan kaum," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/09/e89b3177d2282f023bc447c8636d2ed1.jpg)
