Karpal: Saya tidak perdaya Raimah
Peguam Karpal Singh hari menafikan bahawa beliau telah 'memperdaya' Raimah Bibi Noordin supaya menandatangani satu affidavit yang menyerahkan hak penjagaan enam orang anaknya kepada suaminya yang beragama Hindu, P Marimuthu.
Peguam Karpal Singh hari menafikan bahawa beliau telah 'memperdaya' Raimah Bibi Noordin supaya menandatangani satu affidavit yang menyerahkan hak penjagaan enam orang anaknya kepada suaminya yang beragama Hindu, P Marimuthu.
Dalam satu kenyataan, Karpal menafikan dakwaan Raimah bahawa beliau telah "diperdaya" untuk berbuat demikian. Raimah membuat dakwaan itu dalam temubualnya dengan malaysiakini dua minggu lalu.
Raimah dipetik sebagai berkata: "Saya buta huruf, peguam suami saya tidak menjelaskan (kandungan) surat itu kepada secara terperinci. Beliau memberitahu saya supaya menandatanganinya. Saya akan fail kes terhadapnya. Kini saya tidak mempunyai hak ke atas anak-anak mereka."
Raimah juga berkata, beliau telah ditipu dan "begitu bodoh kerana menandatangani surat (penyerahan hak penjagaan)".
Karpal yang juga pengerusi DAP, menceritakan bagaimana Raimah, 40, dan Marimuthu, 44, datang ke pejabatnya pada 2 Mei untuk menyediakan satu affidavit bagi mengesahkan perjanjian hak penjagaan.
"Melalui pembantu perundangan saya, A Magesan, Saya berbual dengan Raimah Bibi kerana saya tidak tahu bercakap Tamil. Ini dilakukan di depan Marimuthu dan (dua lagi) pembantu perundangan.
"Raimah bersetuju untuk menyerahkan hak penjagaan anak-anaknya kepada suaminya. Dia ditanya sama dia bersedia untuk mengesah affidavit tersebut, dan dia berkata setuju," katanya.
Karpal berkata, Raimah secara sukarela mengesahkan affidavit itu di hadapan Pesuruhjaya Sumpah, Gheerdial Singh di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.
Peguam itu berkata, Raimah mengulangi persetujuan itu apabila Penasihat Undang-undang Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Zauyah Be Loth Khan menjelaskan kandungan dokumen tersebut sewaktu kes permohonan habeas corpus didengar pada 3 Mei.
Satu kesalahan
Karpal kemudiannya memaklumkan kepada Haki Mahkamah Tinggi, Su Geok Yiam bahawa permohonan itu tidak sesuai lagi kerana satu persetujuan telah dicapai berikutan affidavit oleh Raimah bahawa dia akan kekal sebagai seorang Islam.
Dalam affidavit tersebut, Raimah bersetuju supaya anak-anaknya diserahkan kepada bapa mereka dan tinggal di rumah mereka di Kampung Baru Tambahan Ulu Yam, Selangor dan dibesarkan mengikut agama Hindu.
Karpal berkata, hakim kemudiannya menjelaskan kepada Raimah mengenai affidavit tersebut apabila prosiding bermula dan dia (Raimah) sekali lagi mengesahkan pendiriannya itu.
"Apabila dia kini berkata saya telah mengelirukannya berhubung persetujuan dalam afidavitnya itu, Raimah dengan jelas telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan kerana mengesahkan satu afidavit palsu untuk kegunaan dalam prosiding kehakiman," katanya.
Kesalahan seumpama itu boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan didenda jika sabit kesalahan.
Masalah yang melanda keluarga Marimuthu dan Raimah itu bermula apabila tujuh orang pegawai Jais datang ke rumah mereka di Kampung Baru Tambahan Ulu Yam pada 2 April.
Mereka memberitahu Marimuthu bahawa isterinya yang dikahwininya sejak 21 tahun lalu itu adalah seorang Islam dan dia (Raimah) dan anak-anaknya yang berusia empat hingga 12 tahun mesti ditempat di pusat pemulihan akidah.
Marimuthu kemudiannya mendapatkan bantuan DAP dan memfailkan permohonan habeas corpus untuk membebaskan isteri dan anak-anaknya itu.
Jais bersetuju menyerahkan hak penjagaan anak-anak mereka kepada Marimuthu untuk dibesarkan mengikut agama Hindu, tetapi melarang Raimah daripada tinggal bersama suaminya. Raimah, bagaimanapun, dibenarkan bertemu anak-anaknya.
Marimuthu mendakwa, dia tidak tahu yang isterinya seorang Islam sebelum mereka berkahwin, dan selama ini mereka hidup sebagai penganut agama Hindu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.