Usaha perkasa bumiputera beralih kepada lebih ramai usahawan
Usaha memperkasa Bumiputera akan beranjak daripada tumpuan terhadap syarikat terpilih kepada program pengupayaan yang melibatkan lebih ramai usahawan dan lebih banyak syarikat Bumiputera berskala kecil dan sederhana, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya Ini bagi melahirkan kelas pertengahan Bumiputera yang dapat beralih daripada bergantung harap kepada gaji semata-mata kepada membina perniagaan yang meningkatkan pendapatan dan menambah nilai kepada ekonomi.
“Semua perancangan dalam agenda pemerkasaan Bumiputera sebelum ini hanya memusatkan kayu ukur penyertaan Bumiputera dalam ekonomi berdasarkan pemilikan ekuiti semata-mata. Selepas lima dasawarsa, pemilikan ini masih belum mencapai sasaran 30 peratus yang ditetapkan.
“Satu kongres ekonomi Bumiputera akan diadakan pada Januari tahun depan bagi menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda Bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif,” katanya ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) 2021-2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya keberkesanan peranan agensi mandat Bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) akan dipertingkatkan melalui penjajaran semula strategi dan inisiatif pemerkasaan agenda Bumiputera
“Petunjuk Prestasi Utama (KPI) diwujudkan untuk menambah baik keberkesanan penyaluran bantuan dan sokongan bagi meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam kegiatan ekonomi. Usaha ini juga akan terus dipertingkatkan dalam membina kredibiliti Agensi Mandat Bumiputera dengan memperkukuh integriti dan tata kelola,” katanya.
Anwar berkata syarikat Bumiputera juga akan terus berpeluang untuk menerima manfaat sokongan pembiayaan daripada keseluruhan dana yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada 16 agensi Bumiputera, antaranya termasuk Mara, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional, Ekuinas,Teraju dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Selain itu, beliau berkata dana wakaf menerusi kerjasama agensi berkaitan dengan Yayasan Wakaf Madani akan diwujudkan sebagai pendekatan baharu dalam membangunkan ekonomi Islam.
“Bagi memastikan keberkesanan pengurusan tanah wakaf seluruh negara, kerajaan memperkenalkan beberapa inisiatif serta menubuhkan Jawatankuasa Nasional Tanah Wakaf yang mampu menyumbang kepada 20 peratus pengembangan sektor kewangan sosial Islam menjelang 2030. Kerajaan juga akan mengenal pasti tanah-tanah terbiar dan meneroka penglibatan rakyat dalam membangunkannya,” katanya.
Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 berkaitan pengisytiharan pemunya manfaat sedang disemak semula bertujuan untuk memperkukuh ketelusan pemilikan saham, selaras dengan penekanan kepada tata kelola yang baik.
“Pegangan nomini yang tidak didedahkan pemilikan sebenar terus menunjukkan corak peningkatan yang ketara,” katanya.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/09/0acc9f91aaf5450ce7f755d45fbe7a86.jpg)
