Kesatuan Pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan perjumpaan dengan Jawatankuasa Lantikan Dan Naik Pangkat semalam berhubung bantahan pelantikan Timbalan Ketua Pengarah baru, Kamarulzaman Shaharudin.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Kesatuan Pekerja DBP, Hasni Abas berkata, tiada sebarang keputusan dicapai dalam perjumpaan tersebut.

"Perjumpaan tersebut tidak mencapai objektifnya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kamarulzaman dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah DBP bagi mengantikan Datuk Mohamad Abu Bakar Januari lalu tetapi dibantah oleh kesatuan pekerja kerana didakwa tidak mengikuti syarat pelantikan.

Kamarulzaman merupakan kakitangan Kumpulan N, iaitu dari bahagian pentadbiran dan tidak mempunyai pengalaman dalam bidang kesusasteraan dan penulisan.

Manakala syarat untuk menjadi ketua pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah DBP ialah mesti dari Kumpulan S, iaitu dari bahagian kesusasteraan.

Hasni berkata, jika isu bantahan tersebut terus buntu, Kesatuan Pekerja DBP akan merujuk kepada Mahkamah Perusahaan bagi mencari penyelesaiannya.

Apabila ditanya mengenai tindakan Kementerian Pendidikan pula, beliau berkata, setakat tiada sebarang respons diterima dari kementerian berkenaan.

--