Seorang pemimpin terkenal Umno menyarankan agar himpunan yang dirancang PN diadakan Sabtu ini dihadapi dengan satu lagi perhimpunan.
Kata Jamal Yunos Zareef langkah itu perlu dibuat bagi menyelamatkan negara ini daripada pembangkang terbabit.
“Pemuda PN nak buat demo depan Sogo pada 16 Sep ini.
“Jom Baju Merah turun juga selamatkan negara daripada puak PN,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.
Jamal merupakan ketua Umno Sungai Besar di Selangor. Semasa BN masih menjadi kerajaan, dia dikenali ramai sebagai ketua kumpulan 'Baju Merah' yang kerap mengadakan demonstrasi menyanggah pembangkang.
Pada 10 Sept lalu Pemuda PN mengumumkan rancangan mereka untuk berkumpul bersama beberapa NGO sebagai tanda protes terhadap keputusan Jabatan Peguam Negara menghentikan prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari berkata himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia tersebut dibuat bagi "membuka mata rakyat" mengenai kes berkenaan.
Himpunan tersebut dijadual diadakan pada Sabtu sempena sambutan Hari Malaysia.
