Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa kerajaan supaya menandatangani Confidence Supply Agreement (CSA) atau Persetujuan Keyakinan dan Pembekalan dengan pembangkang demi kestabilan politik negara.

“Abim mencermati situasi politik semasa yang dilihat menghala ke arah permusuhan yang berterusan.

“Kami khuatir jika wabak politik kebencian ini terus berlaku, ia akan menjejaskan kestabilan negara ini dan rakyatnya akan hidup dalam keadaan pecah belah,” kata Presiden Abim Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan serta pembangkang mesti bersama-sama duduk semeja mencari kesepakatan bersama terutama dalam isu pembangunan ekonomi rakyat, kestabilan politik.

“Persefahaman ini penting untuk menstabilkan keadaan politik negara serta membolehkan rakyat hidup secara harmoni tanpa dibayangi politiking keterlaluan.

“Abim menegaskan bahawa hanya dengan kestabilan politik sahaja, agenda semak dan imbang dapat dijalankan dengan berkesan,” kata Faisal.

Menurutnya, CSA akan membolehkan agenda reformasi institusi dapat dijalankan secara menyeluruh dan segera manakala kestabilan politik yang dirintis CSA pula akan membolehkan usaha membangunkan ekonomi negara dapat dirancakkan.

Sebelum ini, pentadbiran yang diterajui bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob pernah memeterai memorandum persefahaman (MOU) mengenai transformasi politik dan kestabilan dengan Pakatan Harapan.

MOU itu sebagai syarat perdamaian antara gabungan kerajaan persekutuan dengan pembangkang, yang sebelum itu menyaksikan tiga perdana menteri dalam tempoh tiga tahun akibat ketidakstabilan politik yang dicetuskan oleh lompat parti dan penarikan sokongan parti politik kepada perdana menteri.