K'jaan patut hadkan jumlah subkontraktor dalam projek awam: MP Lawas
Kerajaan digesa untuk mengehadkan bilangan subkontraktor dalam mana-mana projek yang dibiayai kerajaan.
Henry Sum Agong (GPS-Lawas) memberitahu Dewan Rakyat pagi ini bahawa banyak projek kerajaan tidak dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan berikutan penglibatan terlalu ramai subkontraktor.
Katanya, ini berdasarkan pemerhatiannya terhadap projek bermasalah di kawasannya di Sarawak.
"Dalam pemerhatian saya, lewat dan gagalnya pelaksanaan separuh daripada projek kerajaan berpunca daripada penglibatan banya subkontraktor dalam kendalikan projek kerajaan.
"Ini merugikan subkontraktor terakhir dan menyebabkan kerja tak dapat diteruskan dan akhirnya kelewatan berlaku sehingga tender terpaksa ditarik balik untuk memberi ruang kepada tender baru melibatkan diri
"Untuk mengatasi masalah ini, saya mengesyorkan kepada kerajaan agar penglibatan subkontraktor dihadkan untuk mengendalikan sesebuah projek dan harus melibatkan kontraktor tempatan yang lebih mengetahui keadaan setempat termasuk kos bahan binaan, pengangkutan dan perhubungan awam yang diperlukan untuk memudahkan pelaksanaan projek awam atau pekerjaan di sesebuah lokasi dengan lancar," katanya ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Isnin.
Henry berkata, kawasannya, Lawas, juga mempunyai pengalaman yang sama dalam projek infrastruktur yang bermasalah.
Memetik beberapa contoh, dia berkata antara "projek sakit" di Lawas termasuk pembinaan Hospital Daerah Lawas yang baru, pusat pemeriksaan imigresen di sempadan negara dengan Indonesia di Ba'kelalan, dan dua sekolah rendah.
Dalam ucapannya, Henry turut mencadangkan agar kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) meneruskan projek infrastruktur yang dimulakan sebelum mereka mengambil alih pentadbiran.
Ini termasuk pembinaan Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) yang melalui Brunei, dan MRSM Lawas.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/08/309975b9cdc4421c45f1fa49555796c4.jpg)
