Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kalau Syed Saddiq berani kosongkan kerusi, tanding Muar sekali lagi'

PH Muar mencabar Syed Saddiq Abdul Rahman mengosongkan kerusinya dan bertanding semula atas kapasiti Muda secara solo selepas presiden parti itu keluar daripada blok kerajaan di arlimen.

Pada sidang media hari ini, Setiausaha PH Muar Abdullah Sahid mendakwa Syed Saddiq menang kerusi Muar atas sokongan PH.

"Namun, tindakan beliau untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan amat mengguris hati, ibarat kacang lupakan kulit.

"Penat lelah dan pengorbanan seluruh jentera PH di Muar ibarat habis madu, sepah dibuang.

"Di saat negara perlukan kestabilan politik bagi memperbaiki kerosakan yang telah berlaku, Muda sanggup mengambil jalan seperti pihak pembangkang yang berpolitik dan menggugat kestabilan negara demi kepentingan peribadi," katanya sambil membacakan kenyataan medianya.

Menurut Abdullah isu keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri AHmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan "hanyalah semata-mata alasan politik separa matang yang dijadikan alasan yang hipokrit oleh Syed Saddiq bagi merasionalkan tindakan politik yang gopoh dan bercelaru."

"Syed Saddiq tidak perlu ragu-ragu mengosongkan kerusi Muar sekiranya yakin boleh memenangi semula kerusi ini atas kapasiti MUDA sendiri," katanya lagi.

Syed Saddiq sebelum ini menepis gesaan supaya dia mengosongkan kerusi parlimen Muar.

Katanya, bukan dia yang mengkhinati janji kepada pengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu.

"Apa platform yang kita berjuang? Sebelum PRU kita (kata) takkan gugurkan rasuah, akan lawan rasuah, akan bawa reforms (pembaharuan).

"Apa yang dijanjikan sebelum PRU dengan lepas PRU bagai langit dan bumi," tegas Syed Saddiq.

Semasa PRU15, Muda menjalinkan kerjasama politik dengan PH.

Pengkritik mendakwa presiden Muda itu dipilih semula sebagai ahli parlimen kerana kerjasama tersebut.

Ahli parlimen Muar itu keluar daripada blok kerajaan sebagai membantah pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadap Zahid dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi.

Bagaimanapun, Abdullah Sahid berkata kekalahan teruk Muda yang bertanding solo pada enam pilihan raya negeri baru-baru ini, membuktikan kerusi Syed Saddiq itu dimenangi atas sokongan PH.

"Sekiranya Muda bertanding di Muar tanpa dokongan Pakatan Harapan, akan memperoleh nasib yang sama. Hilang Deposit!

"Pengundi Muar bijak memilih. Mereka memilih bukan atas susuk Syed Saddiq. Tapi atas gagasan reformasi yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Pakatan Harapan telah bertapak di Muar sejak 1999 lagi dan terus maju kehadapan.

"Ayuh kita serahkan semula pada rakyat Muar untuk memilih pemimpin tempatan yang benar-benar membawa aspirasi pengundi Muar yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku perdana menteri Malaysia,” katanya lagi.

Syed Saddiq pertama kali mempertahankan kerusi Muar pada 2018 di bawah tiket Bersatu ketika parti itu menjadi sebahagian gabungan PH.

Dia kemudian bertanding di bawah tiket Muda pada PRU15, semasa berada dalam pakatan pilihan raya dengan PH.

Sebelum ini, PH meletakkan calon PKR pada pilihan raya 2008 dan 2013, dengan Pemuda PKR (AMK) juga turut menggesa ahli parlimen Muar itu mengosongkan kerusinya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS