Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AMK Sarawak: Himpunan PN 'cemari' Hari Malaysia
Diterbitkan:  Sep 17, 2023 2:47 PM
Dikemaskini: 6:47 AM

Pemuda PKR (AMK) Sarawak mengecam penganjuran 'Perhimpunan Selamatkan Malaysia' oleh PN ketika Hari Malaysia, semalam.

Ketuanya Chew Choon Man mendakwa perhimpunan itu bertujuan menjejaskan Hari Malaysia yang sepatutnya disambut dengan harmoni dan semangat perpaduan.

"AMK Sarawak menghormati hak untuk berhimpun adalah hak setiap warganegara Malaysia mengikut Artikel 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan namun sambutan Hari Malaysia tidak sepatutnya dicemari dengan demonstrasi yang hanya bertujuan untuk mengaibkan dan menghina pemimpin negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Chew yang juga ahli Parlimen Miri menyuarakan sentimen sama seperti Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang menyifatkan perhimpunan itu "menghina" Hari Malaysia.

Walaupun penganjur menyatakan perhimpunan ini untuk menyambut Hari Malaysia, tumpuan utamanya adalah untuk membantah keputusan melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan di mahkamah.

"Hari Malaysia mempunyai martabat yang tinggi dalam sejarah dan merupakan simbol solidariti semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama, atau pertalian politik.

"Kita sepatutnya merayakan pencapaian dan kemajuan negara sejak penubuhan Malaysia," katanya lagi.

Semalam, lebih 1,000 hadirin berarak dari Masjid Jamek Kampung Baru untuk berkumpul selama sejam di depan kompleks beli belah Sogo.

Seramai 16 pemimpin berucap dan rata-ratanya menegaskan tuntutan perhimpunan berhubung kes Zahid dan apa yang didakwa sebagai kegagalan pentadbiran pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Chew berkata penganjuran perhimpunan di Hari Malaysia hanya akan memecah-belahkan rakyat.

Justeru, dia menggesa Pemuda PN mencari alternatif lain untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka, seperti menerusi dialog.

"Melalui perbincangan bermakna dan pemahaman bersama, kita dapat menangani dan menyelesaikan isu-isu secara kolektif, memastikan kemajuan dan kemakmuran negara tercinta," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS