Hormati keputusan mahkamah, kata Persatuan Peguam Syarie
Semua pihak perlu menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Azlina Jailani atau Lina Joy untuk membuang perkataan Islam dari kad pengenalannya, kata Penasihat Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Datuk Muhamad Burok.
Semua pihak perlu menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Azlina Jailani atau Lina Joy untuk membuang perkataan Islam dari kad pengenalannya, kata Penasihat Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Datuk Muhamad Burok.
Menurutnya, keputusan tersebut juga memperkasakan lagi hak orang Islam dalam undang-undang.
Keputusan itu, tambahnya, tidak akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan orang bukan Islam.
Bagaimanapun, menurutnya, kes berkaitan dengan agama Islam harus dibicarakan di Mahkamah Syariah.
Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan Lina Joy kekal sebagai seorang Islam dan serentak dengan itu menolak permohonannya untuk membuang perkataan Islam dalam kad pengenalannya.
Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim memutuskan bahawa bidangkuasa mengenainya masih dengan Mahkamah Syariah.
Status agama
Katanya, beliau akur dengan keputusan majoriti 2-1. Hakim Datuk Alauddin Mohd Sheriff yang terakhir membaca penghakimannya, juga bersetuju dengan Ahmad Fairuz. Hakim Datuk Richard Malanjun memberi penghakiman berbeza.
Lina Joy, 43, yang telah dilahirkan sebagai Islam mendakwa bahawa beliau telah memeluk Kristian pada 1998.
Lina Joy telah memohon untuk menukar status agamanya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tetapi ditolak kerana JPN memerlukan pengisytiharan dari Mahkamah Syariah untuk berbuat demikian
Ekoran itu, Lina telah memfailkan saman terhadap ketua pengarah JPN, kerajaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada tahun 2001.
Selepas mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan menolak permohonannya, beliau membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.
Manakala peguam Hasnal Ridzua Merican bersetuju bahawa keputusan mahkamah tersebut dibuat mengikut undang-undang.
"Tetapi terpulang kepadanya sama ada mahu mengamalkan kehidupan sebagai orang Islam ataupun Kristian," katanya.

