Meskipun DAP dan PAS terheret ke kancah politik dengan kedua-dua parti itu saling bertikaman dan bercakaran sesama mereka, namun ini tidak menghalang menteri besar Terengganu mengundang menteri pengangkutan untuk bersarapan sama.

Ahmad Samsuri Mokhtar dan Anthony Loke kemudiannya berkongsi butiran pertemuan mereka di akaun Facebook masing-masing.

Mengimbau kembali hubungan silam mereka, Setiausaha Agung DAP itu berkata: “Saya mengenali Dr Ahmad Samsuri Mokhtar lebih 10 tahun yang lalu semasa kerjasama kami (DAP dan PAS) dalam Pakatan Rakyat (yang tidak lagi berfungsi).

“Walaupun kami mempunyai perbezaan politik pada hari ini, saya tetap menghormati beliau sebagai seorang pemimpin politik yang sangat professional dan mempunyai keperibadian yang baik,” katanya.

Menurut Loke, perbincangan itu tertumpu kepada hubungan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

“Perbincangan kami banyak bertumpu kepada soal hubungan persekutuan dengan negeri dalam sistem federalisme yang diamalkan di negara kita.

“Semua pihak perlu menerima hakikat bahawa lanskap politik Malaysia pada hari ini amat berbeza dalam keadaan di mana kerajaan-kerajaan negeri dikuasai oleh pelbagai gabungan politik yang berlainan.

“Dalam soal pentadbiran negara dan negeri, semua pihak perlu bersikap professional dan melaksanakan tugas masing-masing dengan penuh rasa tanggungjawab,” katanya.

Antara lain, Samsuri dan Loke membincangkan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Loke berkata Kementerian Pengangkutan akan berusaha memastikan ECRL memacu pertumbuhan ekonomi di sepanjang laluan itu dan membantu membangunkan kawasan perindustrian di Terengganu.

Sementara itu, Samsuri yang menyifatkan pertemuan mereka sebagai mesra dan santai berkata perbincangan menyentuh mengenai pemerkasaan pelabuhan Kemaman dan memperkukuhkan peranan ECRL di dua stesen iaitu di Permaisuri dan Jerteh supaya dapat digunakan juga sebagai hub kargo (berat medium dan kecil).

Pemimpin PAS itu berkata ini akan membolehkan Terengganu menyediakan kawasan industri yang sesuai di situ untuk meningkatkan ekonomi dan peluang pekerjaan rakyat di dua daerah berkenaan.

“Perbincangan selama sejam setengah dalam suasana yang ceria dan positif ini adalah tanda bahawa perlunya sikap positif dalam hubungan Kerajaan Persekutuan dan Negeri walaupun pegangan politik berbeza,” katanya.

Pimpinan PAS menerajui di empat negeri. Selain Terengganu, mereka berkuasa di Kelantan, Kedah, dan Perlis.