Hampir 3,000 ‘affiliate’ atau syarikat bersekutu asing yang beroperasi di Malaysia menyumbang nilai ditambah sebanyak RM274.3 bilion pada 2021 atau 17.7 peratus kepada ekonomi negara ini, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Sebaliknya, lebih daripada 2,300 sekutu asing Malaysia yang beroperasi di luar negara menjana perolehan sebanyak RM334.1 bilion pada tahun sama, kata DOSM dalam laporan Statistik Sekutu Asing di Malaysia (Inward FATS) dan Statistik Sekutu Asing Malaysia di Luar Negara (Outward FATS) 2021 hari ini.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata sekutu asing berkenaan merujuk kepada syarikat atau perusahaan dengan pemilikan ekuiti lebih 50 peratus oleh pelabur tunggal.

“Objektif penerbitan Inward dan Outward FATS oleh DOSM adalah untuk memberi maklumat tahunan mengenai ciri-ciri utama dan indikator ekonomi yang menentukan struktur dan aktiviti yang dikawal oleh sekutu asing di Malaysia dan sebaliknya,” katanya dalam kenyataan itu.

Mohd Uzir berkata, sekutu asing di Malaysia meningkat secara marginal sebanyak 0.3 peratus daripada 2,979 pada 2020, menjana RM274.3 bilion nilai ditambah iaitu peningkatan 13.8 peratus berbanding RM241.0 bilion pada tahun sebelumnya.

Pada masa sama, bilangan pekerja yang terlibat dengan firma sekutu asing turut meningkat sebanyak RM2.9 peratus dengan merekodkan 884,843 orang berbanding 2020, disokong oleh pasaran tenaga kerja yang bertambah baik di negara ini.

“(Susulan itu), hasilnya menyaksikan pampasan pekerja secara keseluruhannya meningkat daripada RM48.7 bilion kepada RM51.9 bilion pada 2021,” katanya.

Mengulas selanjutnya mengenai prestasi Inward FATS mengikut aktiviti ekonomi, Mohd Uzir berkata sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama dan nilai tambah tertinggi pada 48.6 peratus yang mencecah RM133.3 bilion pada 2021.

Sektor tersebut menggaji sebanyak 664,721 orang dengan bayaran pampasan RM36.1 bilion, terutama dalam subsektor elektrik, peralatan pengangkutan dan pembuatan lain, katanya.

Nilai ditambah kedua tertinggi dicatatkan oleh sektor perlombongan dan pengkuarian pada RM69.0 bilion atau menyumbang 25.2 peratus yang melepasi sektor perkhidmatan pada 2021 (RM68.5 bilion).

“Bagaimanapun, sektor perkhidmatan mencatat bilangan pekerja kedua tertinggi iaitu 178,552 pekerja dengan jumlah pampasan RM12.0 bilion pada 2021,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata eksport dan import oleh firma sekutu asing di Malaysia masing-masing berkembang sebanyak 27.8 peratus dan 21.1 peratus pada 2021.

Eksport Inward FATS misalnya menyumbang kepada 33.9 peratus daripada perdagangan barang dan perkhidmatan manakala import bagi Inward FATS berjumlah 32.3 peratus.

“Pelabur rantau Asia mencatat bilangan tertinggi bagi perusahaan pemilikan asing di Malaysia, merangkumi 63.5 peratus daripada jumlah sekutu asing, terutama dari Singapura, Jepun dan China,” katanya.

Beliau turut turut menekankan bahawa pada 2021, prestasi sekutu asing dengan pemilikan Malaysia di luar negara menunjukkan momentum yang meningkat.

Berbanding dengan tahun sebelumnya, sekutu asing tersebut mencatat peningkatan perolehan sebanyak 4.2 peratus yang mencecah RM334.1 bilion.

Dari segi pekerjaan, Mohd Uzir berkata firma sekutu asing mengambil seramai 412,295 pekerja berbanding 393,291 orang pada 2020 manakala pampasan pekerja juga meningkat sebanyak 1.7 peratus kepada RM24.0 bilion berbanding RM23.6 bilion pada 2020.

Merujuk perolehan, beliau berkata, sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama pada 2021 dengan menghasilkan RM205.0 bilion atau 61.4 peratus.

Perolehan kedua tertinggi direkodkan oleh sektor pembuatan sebanyak RM82.8 bilion yang meliputi 24.8 peratus dan diikuti oleh sektor perlombongan dan pengkuarian sebanyak RM25.7 bilion (7.7 peratus).

“Melihat kepada prestasi mengikut negara, sekutu asing Malaysia di Indonesia mencatat perolehan tertinggi sebanyak RM50.6 bilion. Perolehan kedua tertinggi adalah dari United Kingdom bernilai RM37.3 bilion, diikuti oleh Singapura dengan perolehan sebanyak RM32.0 bilion.

“Sektor perkhidmatan memainkan peranan penting dalam menghasilkan perolehan dari tiga negara tersebut,” katanya.

- Bernama