Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas setiausaha ditahan kes rasuah RM80 juta, Radzi nafi terlibat
Diterbitkan:  Sep 23, 2023 5:49 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Bekas menteri pendidikan Radzi Jidin mengakui bekas setiausaha politiknya ditahan SPRM berhubung dakwaan rasuah melibatkan RM80 juta berkaitan pencetakan buku J-Qaf untuk prasekolah.

"Semalam, SPRM telah menangkap mantan setiausaha politik saya, kononnya atas alasan saya terlibat dalam perkara ini dan berdasarkan mesej WhatsApp karut yang tular di media sosial.

"Saya menegaskan saya tidak pernah meminta atau menerima, sama ada secara terus atau melalui mana-mana orang lain, sebarang rasuah atau suapan daripada sesiapa pun sama sekali," katanya dalam kenyataan.

Radzi merujuk hantaran tular di media sosial yang menuduh dia telah meluluskan projek rundingan terus percetakan buku J-Qaf dengan rasuah melibatkan lebih RM80 uta.

Dia menafikan hantaran di media sosial yang menuduh dia dan isterinya ada kaitan dengan projek tersebut mahupun dengan syarikat yang didakwa terlibat.

"Tuduhan terkandung dalam mesej tular tersebut yang mengaitkan saya dan isteri dengan percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah tidak benar sama sekali.

"Isteri saya juga bukan kerabat diraja dan dia tiada apa-apa kaitan mahupun kepentingan dalam syarikat yang dinyatakan dalam mesej tular itu," katanya lagi.

J-Qaf (singkatan kepada Jawi, al-Quran, Arab, Fardu Ain) adalah satu pendekatan pembelajaran agama di sekolah di Malaysia.

Terdahulu, Berita Harian melaporkan SPRM menahan bekas setiausaha politik Radzi dan seorang lagi individu semalam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bagi projek pencetakan buku bernilai RM80 juta secara rundingan terus.

"Mereka dipercayai bersubahat dengan bekas menteri kanan itu meminta dan menerima rasuah melalui syarikat suspek kedua daripada kontraktor sebagai balasan meluluskan projek percetakan buku secara rundingan terus," kata sumber yang dipetik laporan itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Ahmad Khusairi Yahaya memaklumkan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Menurut laporan itu lagi, Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Nur Adilah bt Halid membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman dua suspek tersebut selama empat hari, bermula hari ini.

Dalam pada itu, Radzi mendakwa tindakan SPRM itu "atas arahan pihak atasan" berikutan kenyataan yang dibuatnya di Parlimen pada 19 September lalu.

Dia juga menyifatkan dakwaan yang terkandung dalam mesej WhatsApp itu sebagai karut dan dibuat untuk menjejaskan reputasinya serta "menindas bekas pegawainya yang tidak bersalah".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS