Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Howard Lee akan beri keterangan pada polis esok
Diterbitkan:  Sep 25, 2023 8:30 AM
Dikemaskini: 12:30 AM

Ahli Parlimen Ipoh Timor Howard Lee Chuan How akan memberi keterangan kepada polis Selasa ini berhubung siasatan terhadap dia yang didakwa membuat tafsiran sendiri mengenai ayat al-Quran.

"Pihak polis telah menghubungi saya dan saya akan memberikan kenyataan pada tengah hari Selasa ini di Ipoh," katanya menerusi aplikasi WhatsApp di Ipoh, semalam.

Lee berkata dia akan memberi kerjasama penuh kepada polis namun enggan mengulas lanjut.

Pada Jumaat lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata pihaknya akan merekod keterangan Lee dalam masa terdekat dan siasatan dijalankan oleh unit siasatan jenayah terkelas.

Sebelum itu, Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata laporan asal atau laporan pertama kes tersebut dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur manakala badan bukan kerajaan iaitu Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) Perak turut membuat laporan pada Khamis lepas.

Presiden Jabat Perak Amiruddin Mohd Daud berkata laporan itu dibuat bagi membolehkan siasatan dan tindakan diambil terhadap Lee yang dianggap menghina Islam kerana membuat tafsiran sendiri ayat al-Quran sekali gus menyentuh isu 3R iaitu agama, raja dan kaum.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS