Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Syarikat penerbangan maya penyelesaian kemelut LTAM

Tahun Melawat Melaka 2024 adalah satu inisiatif kerajaan negeri Melaka untuk mempromosikan produk pelancongan negeri. Inisiatif ini dapat meningkatkan ekonomi pendapatan kerajaan negeri dan juga negara. 

Namun di sebalik usaha murni ini, kita dikejutkan dengan pengumuman penggantungan penerbangan komersial di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM). Ini akan menyebabkan kerajaan Melaka hilang salah satu pintu masuk penting bagi pelancong ke Melaka.  

Kedudukan LTAM yang hanya 15 km dari pusat bandar Melaka sepatutnya memberi kelebihan kepada pelancong kerana ia menjadikan Melaka mudah untuk dikunjungi. Penumpang boleh pergi dan balik dengan mudah ke lapangan dan ini boleh menjimatkan masa dan wang. 

Ini juga memberi kelebihan kepada ahli perniagaan atau penumpang transit, yang perlu pergi dan balik dari lapangan terbang dengan cepat dan cekap. Kelebihan in perlu dieksploitasi dengan bijak oleh kerajaan negeri sekiranya ingin meramaikan pelancong menggunakan LTAM.

Walaupun LTAM mempunyai banyak kelebihan, syarikat penerbangan masih kurang berkeyakinan serta tidak mahu mengambil risiko untuk menawarkan perkhidmatan ke lapangan terbang ini atas alasan masalah kekurangan trafik penumpang. 

Memandangkan tiada syarikat penerbangan yang berminat dan berkeyakinan untuk beroperasi di lapangan terbang Melaka, kerajaan negeri harus bertindak untuk menangani isu ini. Salah satu jalan penyelesaian ini adalah kerajaan negeri menubuhkan sebuah syarikat penerbangan sendiri.

Menubuhkan sesebuah syarikat penerbangan melibatkan kos permulaan yang tinggi. Pelaburan awal yang diperlukan untuk memulakan syarikat penerbangan melibatkan kos pesawat, kemudahan penyelenggaraan, kakitangan dan pemasaran. 

Namun ini boleh diatasi  sekiranya kerajaan negeri menubuhkan sebuah virtual airline carrier ataupun syarikat penerbangan maya.

Penyumberan luar fungsi operasi 

Syarikat penerbangan maya tidak memiliki sebarang pesawat, tidak mempunyai juruterbang serta anak kapal, tidak mempunyai peralatan teknikal, bahkan tidak menyediakan perkhidmatan atau pengendalian darat. 

Ciri utama model syarikat penerbangan maya adalah outsource atau penyumberan luar melalui pemberian kontrak, kepada syarikat penerbangan yang dipilih sebagai rakan untuk melaksanakan kebanyakan fungsi operasi pengurusan seperti pajakan pesawat, anak kapal, penyelenggaraan dan pengendalian darat. 

Hanya fungsi pengurusan pemasaran dan penjualan sahaja dilaksanakan oleh syarikat penerbangan maya. Penjimatan besar dapat dinikmati kerana syarikat penerbangan maya tidak perlu memiliki dan mengendalikan pesawat, infrastruktur dan kakitangan berkaitan operasi penerbangan. 

Setelah fungsi operasi penerbangan disumber uarkan, syarikat penerbangan maya hanya perlu menumpukan pada perniagaan teras iaitu menjual tiket dan menyediakan perkhidmatan pelanggan yang mantap. 

Konsep penyumberan luar sebahagian perkhidmatan dalam industri penerbangan bukanlah perkara baru. Ia adalah satu amalan biasa yang telah berkembang dan menjadi begitu popular dalam kalangan syarikat penerbangan. 

Malah melalui amalan ini ada syarikat penerbangan tradisional boleh diklasifikasikan sebagai syarikat penerbangan maya kerana banyak operasinya telah disumberluarkan kepada pihak lain. 

Penyumberan luar boleh membantu syarikat penerbangan maya mendapatkan akses kepada kepakaran syarikat penerbangan rakan yang pakar dalam bidang tertentu, seperti pajakan pesawat, anak kapal, penyelenggaraan dan pengendalian darat. 

Fokus pada pemasaran dan jualan

Strategi pemasaran dan jualan yang efisien perlu dirangka untuk menjayakan syarikat penerbangan maya ini. 

Program pemasaran secara agresif perlu dirangka untuk mempromosikan syarikat penerbangan maya. Penggunaan media sosial yang menyediakan kandungan media yang kreatif, konsisten, bermaklumat dan menghiburkan perlu dihasilkan melalui catatan Blog, info grafik, ciapan Tweet, paparan di Facebook dan Instagram serta video di YouTube  dan Tik Tok.

Selain dari media sosial, pemasaran melalui media massa juga boleh digunakan. Saluran media massa seperti televisyen, radio, cetak dan digital perlu diguna pakai untuk memperkenalkan perkhidmatan penerbangan ke Melaka melalui LTAM.

Kerjasama dengan ejen pelancongan dalam dan luar negara juga perlu dijalin. Ejen pelancongan boleh gabungkan jualan tiket syarikat penerbangan maya ini dengan pakej pelancongan mereka. Jalinan kerjasama ini berpotensi membantu syarikat penerbangan maya meningkatkan jualan tiket. 

Juga tidak lupa kerjasama perlu dijalin dengan platform pelancongan digital seperti Expedia, Booking.com dan Agoda. Platform yang mempunyai rangkaian pelanggan di seluruh dunia ini menawarkan khidmat tempahan hotel dan tiket penerbangan secara dalam talian dan ini boleh membantu meluaskan jajaran penjualan tiket.

Akhir sekali, sama seperti syarikat penerbangan lain, sebuah laman web dan aplikasi mudah alih yang mesra pengguna perlu dibangunkan. Pembangunan laman web dan aplikasi mudah alih  ini membolehkan pelanggan mengurus urusan perjalanan mereka dan berinteraksi dengan syarikat penerbangan semasa dalam perjalanan. 

Aplikasi mudah alih boleh digunakan untuk menempah penerbangan, membuat pembayaran, daftar masuk untuk penerbangan, menjejak status penerbangan dan memaparkan makluman terkini.

Dengan memfokuskan pada pemasaran dan penjualan tiket kepada penumpang, syarikat penerbangan maya ini boleh membina perniagaan yang mampu bersaing dengan syarikat penerbangan tradisional.

Penggunaan teknologi

Penggunaan teknologi mampu membantu syarikat penerbangan maya mengurus operasinya dan berinteraksi dengan pelanggan secara meluas

Teknologi seperti sistem pengurusan perhubungan pelanggan atau customer relationship management (CRM) boleh digunakan untuk mengurus dan menganalisis pelanggan. Sistem ini boleh mengurus perhubungan pelanggan serta menjejaki interaksi pelanggan, memantau pilihan dan sejarah pembelian. 

Maklumat ini boleh digunakan untuk mengenal pasti keperluan pelanggan dan membantu syarikat merangka kempen pemasaran yang lebih efektif. 

Selain daripada CRM, penggunaan chatbot boleh diguna untuk menjawab soalan pelanggan penggunaan teknologi chatbot banyak digunakan oleh syarikat perdagangan dalam talian. 

Chatbot boleh diprogramkan untuk menjawab pelbagai soalan, seperti "Bagaimanakah cara saya mendaftar masuk untuk penerbangan saya?" atau "Apakah status penerbangan saya?" 

Walaupun konsep syarikat penerbangan maya jelas menarik dari sudut operasi dan perniagaan, namun kejayaan model syarikat penerbangan maya ini tertakluk kepada pasukan yang akan menguruskannya. 

Satu pasukan yang kuat yang mempunyai pengalaman dalam industri penerbangan perlu dibentuk untuk menjalankan dan mengendalikan syarikat penerbangan maya bagi pihak kerajaan negeri. 

Dengan pengalaman yang mereka ada, strategi jelas boleh dirangka untuk memastikan kejayaan syarikat penerbangan maya ini.

Selain dari pasukan yang kuat,  pemilihan syarikat rakan penerbangan yang betul juga penting untuk memastikan kejayaan syarikat penerbangan maya ini.

Syarikat rakan penerbangan boleh dipilih dari syarikat penerbangan yang sedia ada atau syarikat yang penyedia perkhidmatan penerbangan sewa atau “charter”. Kriteria yang perlu dipertimbangkan dengan teliti adalah kepakaran, pengalaman dan reputasi syarikat tersebut. 

Rangkaian destinasi syarikat penerbangan sedia ada yang boleh dimanfaatkan, operasi penerbangan yang fleksibel dan pengurusan yang mesra adalah kriteria tambahan yang perlu diambil kira untuk memilih syarikat rakan penerbangan. 

Banyak syarikat penerbangan maya ditubuhkan untuk tujuan industri pelancongan. Taos Air ditubuhkan pada tahun 2018 ialah syarikat penerbangan maya Amerika Syarikat yang menawarkan penerbangan bermusim ke pusat peranginan peluncur salji di Taos, New Mexico. 

Operasi penerbanganya dikendalikan oleh JSX Air sebuah syarikat penerbangan Amerika Syarikat. 

SkyAlps ditubuhkan pada tahun 2021, berpangkalan di lapangan terbang Bolzano yang terletak di wilayah autonomi Tyrol Selatan di Itali. Segala operasi penerbangan dikendalikan oleh Luxwing, sebuah syarikat penerbangan negara Malta. 

SkyAlps pada mulanya menawarkan penerbangan percutian untuk pelancong ke pusat peranginan luncur salji ski di Tyrol Selatan. Berkat pendekatan pemasaran yang inovatif, SkyAlps berjaya memperolehi sijil pengendali udara dari kerajaan Itali dan telah memiliki beberapa pesawat sendiri.

Secara keseluruhan, penubuhan syarikat penerbangan melalui model syarikat penerbangan maya boleh menjadi penyelesaian yang boleh memulihkan industri penerbangan komersial di LTAM dan juga boleh menjadi pemangkin kepada industri pelancongan negeri Melaka. 

Di sebalik cabaran dan risiko, jika dilaksanakan dengan betul ia akan memberi impak yang positif kepada ekonomi dan industri pelancongan Malaysia.


MOHAMED ISMAIL PAKIR MOHAMED ialah pensyarah kanan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS