Adun Rawang, Chua Wei Kiat tampil mempertahankan kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang mendakwa isi rumah Malaysia yang “ketagihan” untuk membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk membungkus dan makan di luar, mengakibatkan penyusutan pendapatan boleh belanja mereka.
“Setiap orang pasti ada pemikiran dan pendapat masing-masing untuk dipertahankan dan dinyatakan,” katanya kepada Malaysiakini ketika diminta mengulas kritikan terhadapnya semalam.
"Saya percaya kerajaan telah berusaha untuk mengawal harga barangan," tambahnya.
Pada Jumaat minggu lalu, Chua membuat hantaran di Facebook yang menunjukkan kos untuk makan semangkuk mi segera Maggi di luar adalah RM5, tetapi dia mampu membeli lima bungkus mi yang sama untuk dimasak sendiri pada hanya RM4.80.
“Rafizi cakap benar. Makan di rumah lagi jimat.
“Janganlah marah kalau ada pemimpin yang cakap benar,” kata Chua.
Bagaimanapun, hantarannya itu mengundang rasa tidak puas hati sesetengah warga maya yang membidasnya.
“Simpanlah sikit bodoh tu untuk anak cucu akan datang,” kata Mohd Firdaus Jailan.
Arrif Lubis pula menyoalnya, “Sekolah tak sekolah? Kat kedai tu dia perlu kira kos minyak dia.. kos air.. kos gas.. kita beli magi paket bawak balik masak pakai apa?”
Ada juga yang membidasnya dengan berkata terlalu banyak makan mi segera adalah tidak menyihatkan.
Sementara itu, menjelaskan kepada Malaysiakini, Chua berkata ekonomi penawaran dan permintaan menyumbang kepada kenaikan harga. Namun katanya, selepas peniaga menaikkan harga, pengguna masih bersedia untuk terus membeli.
Selain mee segera, Chua turut memberi contoh minuman popular, Milo.
“Sebelum ini, segelas Milo berharga lebih kurang RM2, tetapi sekarang, harganya RM4 segelas.
“Namun, pada hakikatnya, satu pek besar (serbuk) Milo di pasar raya boleh dibeli sekitar RM20.
“Pengguna sebenarnya boleh bancuh Milo sendiri di rumah dengan harga kira-kira RM2 tetapi mereka lebih suka beli Milo RM4, jadi itulah sebabnya harganya kekal pada paras itu.
“Saya juga faham bahawa adalah perkara biasa bagi orang ramai untuk makan di luar. Namun, jika ingin imatkan wang dan kurangkan kos sara hidup, masaklah sendiri di rumah,” katanya.
Baru-baru ini, semasa tinjauan rambang di pasar pagi Salak Selatan dan kedai makan di sekitar Desa Petaling di Kuala Lumpur, orang ramai memberi alasan kekurangan masa sebagai sebab utama mereka memilih untuk makan di luar.
Ada juga yang meragui bahawa mereka mampu menjimatkan banyak wang dengan memasak makanan sendiri.
