Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PANDUANKINI | Pada minggu lalu, pakar ekonomi Muhammed Abdul Khalid mencadangkan pencen untuk menteri dan ahli parlimen digantikan dengan caruman di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dia berkata semua menteri dan ahli parlimen patut 'diajar' untuk merasai kesempitan hidup seperti dilalui orang kebanyakan dengan membatalkan pencen mereka.

Bagaimanapun cadangan bekas pengarah Khazanah Research Institute itu tidak disambut baik sejumlah ahli parlimen.

Panduankini kali ini meneliti gaji ahli parlimen dan perbezaan antara skim KWSP dan pencen.

Skim pencen

Manfaat persaraan untuk penjawat awam merupakan pencen bulanan yang ditetapkan menggunakan formula yang mengambil kira tempoh perkhidmatan layak berpencen dan gaji terakhirnya.

ada juga skim pencen berbeza untuk ahli parlimen, senator, Adun, Exco kerajaan negeri, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, timbalan menteri dan perdana menteri.

Ahli parlimen layak menerima pencen apabila berkhidmat sekurang-kurangnya 36 bulan dan akan menerimanya selepas mencecah usia 50 tahun.

Menurut Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 (Akta 237), mereka layak menerima tiga per lima, atau 60 peratus, daripada gaji mereka.

Ini bermakna jika seorang ahli parlimen menerima gaji RM16,000, pencen untuknya adalah RM9,600 sebulan.

Sebelum ini Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan jumlah pencen bertambah jika ahli parlimen itu memegang jawatan lain dalam kerajaan - dengan jumlahnya boleh mencapai RM100,000 sebulan.

Berapa gaji ahli parlimen sebenarnya?

Ia berbeza, bergantung kepada jawatan yang dipegang ahli parlimen dalam kerajaan.

Menurut Kertas Statut 235 Tahun 1983 di laman rasmi Parlimen Malaysia, gaji bulanan ahli parlimen adalah RM16,000.

Selain itu, mereka mendapat elaun telefon sebanyak RM900 dan elaun perjalanan RM1,500 sebulan. Mereka tidak perlu menghantar apa-apa tuntutan untuk mendapatnya.

Manfaat lain termasuk lesen kenderaan dan permit senjata api secara percuma. Ahli parlimen juga diberikan elaun untuk rawatan kesihatan, pakaian panas, pakaian istiadat dan rasmi, serta pinjaman untuk kereta, perumahan dan komputer.

Mereka juga menerima gaji yang lain untuk jawatan dalam kerajaan yang dipegang.

Menurut Akta 237, perdana menteri menerima RM22,826.65 sebulan, sementara timbalan perdana menteri menerima RM18,168.15, selain gaji sebagai ahli parlimen.

Perbezaan antara pencen dan KWSP

KWSP adalah skim persaraan yang ditubuhkan kerajaan untuk pekerja sektor swasta, penjawat awam tak berpencen dan pencarum sukarela.

Sebanyak 11 peratus daripada gaji bulanan pencarum dimasukkan ke dalam akaun mereka. Majikan pula menyumbang 12 atau 13 peratus daripada gaji bulanan pencarum.

KWSP kemudian melaburkan wang tersebut untuk memberi dividen sekurang-kurangnya 2.5 peratus setiap tahun kepada pencarum.

Berbeza dengan pencen, pencarum KWSP boleh mengeluarkan keseluruhan simpanan mereka apabila mencecah usia 55 tahun.

Bagaimanapun kerajaan sebelum ini sedang menimbang untuk membolehkan pencarum mengeluarkan simpanan mereka secara berkala agar dana persaraan mereka dapat diuruskan dengan lebih baik.

Pencarum mendapat beberapa manfaat cukai dengan mencarum di KWSP.

Pesara berpencen pula mendapat manfaat penjagaan kesihatan serta kadar lebih rendah untuk pinjaman bank, selain pencen bulanan mereka.

Adakah kerajaan dapat jimat jika pencen ditukar ke caruman KWSP?

Menuru Muhammed, bagi ahli parlimen selama sepenggal yang menyertai skim KWSP, kerajaan akan menyumbang kira-kira RM100,000 kepada dana tersebut.

Namun jika ahli parlimen itu menerima pencen - dan dengan purata jangka hayat warga Malaysia - kos yang ditanggung kerajaan adalah RM2.7 juta.

"Gandakan dengan 222 ahli parlimen dan 576 Adun, dan untuk beberapa penggal, jumlahnya tidak kecil. (Penukaran kepada KWSP) akan menjimatkan banyak wang untuk pembayar cukai.

Muhammed Abdul Khalid

"Ia sistem yang lebih saksama. Kenapa pembayar cukai perlu bayar seseorang yang hanya berkhidmat selama lima tahun, selama seluruh tempoh persaraannya?"

Muhammed berkata negara menanggung beban pencen yang besar, dengan defisit pada masa ini dijangka kira-kira RM700 bilion.

"Ini dua kali ganda berbanding defisit RM360 bilion pada 2016 dan jumlah ini terus meningkat.

"Ada keperluan untuk menguruskan jurang ini - kalaupun tidak mengurangkannya - dan apa langkah permulaan yang lebih baik berbanding menghentikan sistem pencen untuk menteri dan ahli parlimen," katanya.

Dia mengaitkan peningkatan defisit dengan peningkatan jangka hayat di Malaysia serta peningkatan gaji yang cepat dalam perkhidmatan awam sejak 10 tahun lalu.

"Penjimatan daripada penamatan pencen untuk menteri dan ahli parlimen patut digunakan untuk menambah baik gaji jururawat, guru, tentera serta meluaskan jaringan keselamatan kepada rakyat yang miskin," katanya lagi.

Pada 2021, perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bayaran pencen dijangka mencecah RM46.6 bilion pada 2030, berbanding RM26.38 bilion pada 2020.

Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan pula berkata dianggarkan seramai 32,000 pesara baru setiap tahun dan kerajaan membelanjakan RM31 bilion untuk membayar pencen lebih 900,000 pesara.

Daripada jumlah itu, seramai 768,947 termasuk penerima pencen di bawah Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Pandangan bekas ahli parlimen

Bekas ahli parlimen Balik Pulau Nungsari Ahmad Radhi setuju ahli parlimen tidak seharusnya menerima skim pencen yang sama seperti penjawat awam.

Ahli ekonomi itu bagaimanapun berpandangan skim pencen adalah isu kewangan awam yang kritikal dan tidak akan selesai dengan hanya menamatkan pencen wakil rakyat.

Nungsari Ahmad Radhi

Jumlah kasar dana KWAP adalah RM184.5 bilion tahun ini tetapi Belanjawan 2023 memperuntukkan RM21.9 bilion untuk bayaran pencen dan penerima manfaat persaraan.

Ini bermakna kerajaan perlu mengeluarkan dana daripad belanjawan untuk membayar pencen, bukannya menggunakan hasil pendapatan yang dijana KWAP.

Sementara itu, bekas ahli parlimen Bangi Ong Kian Ming berkata penamatan pencen boleh menyebabkan ahli parlimen tidak sanggup untuk bersara dan ingin menerma manfaat dengan terus menjadi ahli parlimen.

"Cadangan ini tidak menangani isu berkenaan risiko tinggi yang dihadapi ahli politik, misalnya tewas dalam pilihan raya dan tidak dicalonkan parti.

"Ia mungkin menambahkan lagi sebab - yang sudah sedia banyak - mengapa warga Malaysia yang berkelayakan tidak ingin masuk politik dengan menjadi wakil rakyat.

"Saya juga tidak nampak bagaimana cadangan untuk beralih ke sistem KWSP akan menjadikan ahli parlimen lebih berkesan dalam melaksanakan peranan mereka.

"Ia juga boleh menyebabkan ahli parlimen menyokong untuk membenarkan pengeluaran awal simpanan KWSP yang tidak bertanggungjawab kerana sebagai pencarum KWSP, mereka turut terkesan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS