Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hong Leong pula umum terus kecualikan fi transaksi QR DuitNow
Diterbitkan:  Sep 30, 2023 2:16 PM
Dikemaskini: 6:16 AM

Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank (HLB) akan meneruskan pengecualian fi serta caj transaksi kepada semua peniaga yang menerima pembayaran menerusi QR DuitNow sehingga diberitahu kemudian.

Menurut bank itu, langkah berkenaan adalah antara komitmen yang sedang dilaksanakan mereka untuk menggalakkan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

“Pengecualian fi dan caj transaksi ini meliputi transaksi QR DuitNow dengan pembayaran yang dilakukan menerusi akaun semasa dan simpanan, e-dompet dan kad kredit.

“Selain itu, HLB juga tidak mengenakan sebarang fi terhadap penyelenggaraan perkhidmatan, bahan tempat jualan dan pengintegrasian antara muka pengaturcaraan aplikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumpulan perbankan itu berkata, pihaknya yakin langkah mengecualikan fi tersebut akan menggalakkan lebih banyak perniagaan untuk menggunakan penyelesaian pembayaran digital yang kemudian mendorong landskap perniagaan lebih berdaya tahan dan berdaya saing.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS