Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hanya yang ada ID khas boleh beli minyak masak bersubsidi
Diterbitkan:  Oct 2, 2023 12:01 PM
Dikemaskini: 4:28 AM

Hanya mereka yang mempunyai ID atau kad pengenalan diri khas dan  di ahkan layak sahaja boleh membeli  minyak masak paket bersubsidi tidak lama lagi.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh, ini perlu kerana pada masa ini, di bawah sistem pasaran terbuka, golongan berada turut membeli barangan bersubsidi.

“Kita mahu sasarkan kepada yang memerlukan… supaya tidak berlaku penjualan kepada yang tidak sepatutnya.

“Pada ketika ini kerajaan keluarkan 60 juta paket minyak masak bersubsidi setiap bulan.

“Akan tetapi aduan di terima ialah ia tidak boleh di dapati di pasaran. Ia selalu habis,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Maka dengan subsidi bersasar, Fuziah berkata, hanya mereka dengan ID khas itu dan disahkan layak sahaja boleh membeli minyak masak paket yang bersubsidi.

“Ramai yang bertanya mengapa tidak gunakan IC atau MySejahtera. Ini kerana keperluan keluarga tidak sama dengan keperluan peniaga mikro. 

“Maka nanti kita hadkan pembelian kepada tiga atau lima kilogram, peniaga akan bermasalah. Lagi satu ialah golongan T20 (kumpulan berada) tidak layak terima subsidi minyak masak paket. Maka perlu kepada ID yang berbeza,” katanya.

Mengulas lanjut menjawab komen pengikutnya, timbalan menteri itu berkata kad pengenalan berbeza juga boleh membantu menghalang warga asing daripada membeli produk bersubsidi.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan sedang berusaha membina pangkalan data mega yang akan memprofilkan 10 juta isi rumah, yang akan digunakan untuk subsidi bersasar.

Pengkalan Data Utama (Padu) itu dijangka siap pada Januari 2024, dan akan digunakan untuk menentukan mereka yang layak menerima subsidi.

“Ini juga bermakna permulaan program subsidi bersasar,” katanya kepada Parlimen bulan lepas.

Tidak jelas bagaimana cadangan Fuziah untuk mendapatkan kad untuk menentukan mereka yang layak mendapatkan subsidi minyak masak itu.

Lihat Komen
ADS