Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS tak rayu keputusan mahkamah, PRK di Kemaman
Diterbitkan:  Oct 3, 2023 1:29 PM
Dikemaskini: 5:50 AM

PAS tidak akan merayu terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu pada 26 September yang membatalkan kemenangan calonnya Che Alias Hamid di Kemaman.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata langkah itu diambil memandangkan “hakim tidak menamakan mana-mana pihak” yang terlibat dengan amalan rasuah bagi kawasan itu.

“Sehubungan dengan itu PAS menunggu dan bersiap sedia untuk mengambil langkah selanjutnya berdasarkan ketetapan yang akan dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan daripada keputusan tersebut,” katanya.

Takiyuddin Hassan

Takiyuddin berkata demikian dalam kenyataan ringkas empat perenggan hari ini.

Mahkamah Pilihan Raya minggu lalu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid.

Ini susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Anselm Charles Fernandis yang membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh Mohamad Hisham Wan Abdul bagi pihak BN.

Keputusan dibuat setelah mahkamah berpuas hati bahawa pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen pilihan raya umum ke-15.

Dengan ketiadaan rayuan bagi pihak PAS dalam tempoh 14 hari, SPR akan mengisytiharkan kerusi parlimen itu kosong, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya kecil.

Dalam pilihan raya 2022, Che Alias menang besar dengan majoriti 27,179 undi  dalam pertembungan empat penjuru.

Dia mendapat 65,714 undi, diikuti Ahmad yang juga bekas menteri besar dengan 38,535 undi, calon Pakatan Harapan (PH) Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon Pejuang Rosli Ab Ghani (506 undi).

Lihat Komen
ADS