Cikgu Bad: Pemilihan saya dalam MPT pengiktirafan kepada anak muda
Ahli Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang paling muda, Badrul Hisham Shaharin, menyifatkan pemilihannya itu sebagai satu pengiktirafan kepada sumbangan anak muda dalam parti tersebut.
Ahli Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang paling muda, Badrul Hisham Shaharin, menyifatkan pemilihannya itu sebagai satu pengiktirafan kepada sumbangan anak muda dalam parti tersebut.
Namun, katanya, ia merupakan satu amanah yang berat yang harus dipikul, khususnya dalam keadaan parti yang harus mengharungi pelbagai cabaran dalam keadaan negara yang dirundung pelbagai masalah.
"Ia juga menjadi tanda kepercayaan dan harapan perwakilan kepada anak muda untuk menuntaskan perjuangan membela rakyat yang kita warisi dan sama kita cetuskan semula semenjak peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam satu kenyataan.
Kemenangan Badrul yang sebelum ini aktif dalam Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam pemilihan parti itu baru-baru ini, agak memeranjatkan kerana beliau tiada di tanahair kerana sedang melanjutkan pelajarannya di luar negara.
Katanya, pelbagai usaha telah dilakukan untuk memandulkan gerakan anak muda dan kemuncaknya ialah selepas kebangkitan mahasiswa pada 1970-an.
"Dari penggubalan undang-undang seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) sehingglah hampir semua pertubuhan belia, termasuk pertubuhan sukan diambilalih oleh orang politik.
"Akibatnya dapat dilihat pemimpin politik pemerintah yang sudah berada di hujung usia pun masih menerajui pertubuhan-pertubuhan yang belia," katanya.
Akujanji dan PLKN
Menurut Badrul Hisham lagi, impak pemecatan Anwar yang seterusnya melancarkan semula Gerakan Reformasi ialah anak muda Malaysia selepas 1998 mula bergerak aktif dan lebih progresif.
Namun, katanya, perkembangan ini cepat dikesan oleh pihak berkuasa dan Auku diperketat dengan pengenalan akujanji manakala majoriti anak muda diwajibkan memasuki proses 'brain wash' melalui Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
"Tidak dinafikan ada juga kumpulan anak muda yang terus progresif tetapi bilangan mereka mula mengecil dan bercapah," katanya.
Anak-anak muda, katanya, hilang minat untuk menyertai persatuan atau apapun gerakan kerana semuanya telah diambilalih oleh parti pemerintah dan kelompok tua yang tidak lagi progresif.
"Kerajaan pula hanya mengendalikan permasalan di kalangan masyarakat dengan hanya mengeluarkan dan membazirkan peruntukan kerajaan.
"Rakan Muda dilancarkan dengan peruntukan RM176 juta dan sehingga kini telah menelan lebih dari RM500 juta wang negara. Apakah hasilnya ?
Bagaimana peruntukan ini disalurkan. Adakah anak muda terlibat dalam penyaluran peruntukan tersebut?" soalnya.
PKR sedia dikritik
Menurutnya lagi, ekonomi negara kini tidak menentu, rasuah berleluasa dan kenaikan harga tidak terkawal.
"Isu kecil seperti isu agama dan perkauman gagal ditangani oleh pemerintah. Malah pemerintah menggunakan isu tersebut sebagai isu politik," katanya.
Sehubungan itu, katanya, anak muda harus berani bangkit merentasi batas parti politik, perkauman mahupun agama, demi memacu semula sebuah tamadun ke arah kegemilangan.
"Anak muda, mahasiswa harus berjiwa progresif, kritikal dan berani. Jika semua tenaga muda progresif negara ini disatukan, maka tidak mustahil bangsa Malaysia akan menjadi bangsa yang disegani dunia.
"Kita mahu mahasiswa kekal sebagai mahasiswa, gerakan anak muda kekal sebagai gerakan anak muda malah perlu lebih progresif. PKR juga memerlukan pandangan kritikal bebas mereka.
"Sebagai sebuah parti politik masa depan, PKR juga terbuka untuk dikritik oleh anak muda," katanya sambil menambah, PKR harus membuka pintu seluasnya kepada anak muda untuk turut sama menyumbang idea dan tenaga.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.