Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemberian diskaun PTPTN dalam Belanjawan 2024 ditentukan MOF - Khaled

Keputusan sama ada insentif diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan diteruskan dalam Belanjawan 2024 atau tidak, tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan (MOF), kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Apa-apa perkara mengenai perkara itu (insentif diskaun bayaran balik PTPTN), ia tertakluk kepada keputusan MOF," katanya kepada media selepas merasmikan Hari Akademia dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2023, di Putrajaya semalam.

Menurutnya setakat ini tempoh diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN yang telah tamat pada 31 Mei lepas seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada Februari lepas tidak dilanjutkan.

"Setakat ini, kita telah tidak lagi meneruskan itu (melanjutkan tempoh insentif)," katanya ketika ditanya jika ada berita baik untuk peminjam PTPTN dalam Belanjawan 2024 berhubung diskaun bayaran balik pinjaman.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelaksanaan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 20 peratus berkuat kuasa mulai 1 Mac hingga 31 Mei lepas.

Ia meliputi empat kategori seperti diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman; diskaun 15 peratus untuk penyelesaian sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan baki hutang; diskaun 15 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau Debit Terus (Direct Debit) mengikut jadual bayaran balik; dan diskaun lima peratus untuk bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh enam bulan bagi meringankan beban kewangan peminjam yang terkesan.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata KPT memberi tumpuan kepada tiga perkara dalam Belanjawan 2024 iaitu pendigitalan, penyelidikan dan inovasi serta kediaman pelajar.

"Kita (KPT) mengharapkan supaya kerajaan menyokong permohonan kita untuk kita menerap dan mengaplikasi pendigitalan dalam kita menjayakan dan mengurus mentadbir ekosistem pendidikan tinggi dalam negara.

"Kita percaya melalui pendigitalan akan dapat meningkat dan melonjakkan lagi usaha kita untuk memastikan terus cemerlang dalam sektor pendidikan tinggi," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS