Anwar: Kes keluar Islam mesti kekal dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah
Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Lina Joy bukan untuk memaksanya kembali kepada Islam meskipun dia secara terbuka telah menganut agama Kristian, tetapi undang-undang dan peraturan mestilah dipatuhi apabila mana-mana individu hendak keluar dari Islam.
Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Lina Joy bukan untuk memaksanya kembali kepada Islam meskipun dia secara terbuka telah menganut agama Kristian, tetapi undang-undang dan peraturan mestilah dipatuhi apabila mana-mana individu hendak keluar dari Islam.
Beliau berpendapat keputusan tersebut menetapkan orang Islam mestilah menggunakan prosedur Mahkamah Syariah untuk meninggalkan Islam, sekiranya mereka hendak berbuat demikian secara rasmi, seperti Lina Joy yang telah memohon untuk membuang perkataan Islam dari kad pengenalannya.
"Saya percaya perkara sedemikian mesti kekal di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, dan sama ada keputusan tersebut berpatutan atau tidak, Mahkamah Syariahlah mesti menentukannya.
"Ini jelas sekali mengikut peruntukan undang-undang Syariah di setiap negeri sebagaimana undang-undang penceraian, wasiat dan harta peninggalan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 30 Mei lalu, Mahkamah Persekutuan telah menolak rayuan Lina Joy supaya pertukaran agamanya kepada Kristian diiktiraf mengikut undang-undang dan memutuskan dia masih Islam dan status agamanya dalam kad pengenalannya, tidak boleh ditukar.
Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim juga berkata bidangkuasa mengenainya masih dengan Mahkamah Syariah.
Menurut Anwar lagi, meskipun wujud perbezaan dari segi undang-undang dan prosedur berkenaan murtad antara tiap-tiap negeri, tetapi Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan perkara tersebut berada di bawah bidang uasa eksklusif Mahkamah Syariah.
"Saya berharap orang bukan Islam secara keseluruhannya dapat menerima bahawa persoalan murtad ini amat sensitif di negara kita dan tidak boleh diperlekehkan.
Iktiraf hak bukan Islam
"Pada masa yang sama, umat Islam mestilah mengiktiraf hak bukan Islam untuk mengamalkan agama-agama mereka akan terus dipelihara dan dihormati, dan memahami bahawa mereka juga sensitif di dalam isu-isu agama," katanya.
Sehubungan itu, Anwar menyeru semua rakyat Malaysia supaya menjaga kata-kata dan tindakan berkaitan isu ini serta perkara-perkara lain yang mungkin mengeruhkan hubungan antara agama.
"Setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, mestilah terus memegang muafakat yang dicapai menerusi Perlembagaan Persekutuan.
"Selain daripada kebebasan beragama, kita juga mestilah berusaha memelihara kebebasan-kebebasan lain yang diperuntukkan Perlembagaan kita," katanya.
Menurut Anwar, meskipun keputusan Mahkamah Persekutuan ini menggambarkan seolah-olah kegusaran bukan Islam terhadap kebebasan beragama terbukti benar, "pada pandangan saya, keputusan ini tidak bermakna orang bukan Islam tidak dapat terus mengamalkan agama pilihan mereka".
"Keputusan tersebut juga sama sekali tidak bermakna mana-mana pihak boleh memaksa orang bukan Islam memeluk Islam. Kebebasan beragama secara keseluruhannya masih dipelihara.
"Saya berpendapat keputusan tersebut menetapkan bahawa orang Islam mestilah menggunakan prosedur Mahkamah Syariah untuk meninggalkan Islam, sekiranya mereka hendak berbuat demikian secara rasmi, seperti Lina Joy yang telah memohon untuk membuang perkataan Islam dari kad pengenalannya.
"Ia tidak memberi kuasa yang baru kepada Mahkamah Syariah yang tidak dimiliki sebelum ini. Ia juga tidak memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menentukan status agama bukan Islam sebagaimana pandangan sesetengah pihak," katanya.

