Bekas menteri besar Pahang Adnan Yaakob berkata masih sukar untuk meramalkan sama ada PRK Pelangai esok akan memihak kepada BN, atau Perikatan Nasional (PN).

Menurut Adnan, yang pernah berkhidmat selama lapan penggal sebagai Adun Pelangai, pemerhatiannya adalah berdasarkan kempennya di lapangan untuk calon BN untuk pilihan raya, Amizar Abu Adam.

"Saya mula turun sejak Selasa, Rabu dan Khamis. Insya-Allah esok (hari ini) pun saya akan turun (berkempen).

"Sekarang ini bila orang itu beri tahu (peluang) 50-50, maknanya orang itu tidak tahu. Jangkaan 50-50 itu adalah kata-kata yang selamat untuk semua orang.

"Pada saya setakat hari ini kedudukan yang sebenar belum dapat dipastikan lagi," katanya seperti dilapor Berita Harian.

Menurut Adnan lagi, BN dan PN memainkan isu peringkat persekutuan, bukannya bercakap mengenai isu tempatan apabila mereka mencari sokongan.

Adnan juga menyatakan bahawa dia dan jentera kempen BN masih belum meliputi seluruh pangkalan pengundi di Pelangai, dengan hanya tinggal sehari untuk hari pengundian.

"Pertama, kita belum habis lagi merayau rumah ke rumah. Kedua pula saya tengok ceramah-ceramah pun lebih banyak menjurus hal yang besar, hal yang tidak berkaitan sangat dengan rakyat di bawah.

"Maknanya (ada jadikan modal ceramah) di Pelangai ini tidak ada kemajuan sepanjang 40 tahun lalu," katanya.

Tambah Adnan, keputusan pilihan raya esok akan menghantar mesej kepada mana-mana parti yang kalah dalam pilihan raya.

BN memenangi 16 kerusi DUN di Pahang semasa pilihan raya umum ke-15, manakala PN memenangi 17. Bagaimanapun, BN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan, yang mempunyai lapan kerusi dalam dewan undangan negeri.

Kerusi Pelangai dimenangi oleh Johari Harun dari BN, yang meninggal dunia dalam nahas pesawat pada 17 Ogos.