Sebuah NGO tempatan meminta kerajaan Malaysia dan Indonesia agar tidak mempersalahkan satu sama lain  pihak berkaitan isu jerebu yang sedang melanda rantau ini.

Sebaliknya, Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meenakshi Raman berkata kedua-dua negara perlu mencari satu titik penyelesaian.

Meenakshi Raman

"Setiap kali muncul isu jerebu, kita lihat kedua-dua negara menyalahkan satu sama lain. Ini satu perkara yang tidak sihat kerana sehingga kini tidak ada satu penyelesaian dibuat walaupun isu ini berlarutan hampir setiap tahun.

"Mereka sepatutnya menjelaskan isu sebenarnya berdasarkan data yang diperolehi. Cukuplah dengan apa yang berlaku.

"Kita perlu selesaikan isu jerebu ini dengan segera kerana ramai yang terkesan dan sakit akibat jerebu," katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian susulan kenyataan kerajaan Indonesia yang menafikan dakwaan jerebu yang melanda  Malaysia adalah berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah yang di republik itu.

Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan, Indonesia Siti Nurbaya Bakar sebelum ini berkata berdasarkan pemantauan satelit menunjukkan tiada jerebu rentas sempadan.

Siti Nurbaya juga berkata sebanyak 203 syarikat diberi amaran dan 20 lagi diarah menghentikan operasi kerana melakukan pembakaran termasuk syarikat dari Malaysia.

Susulannya, pada 4 Okt, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Malaysia telah menghantar surat kepada Indonesia bagi menyelesaikan segera Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP).

Katanya, surat berkenaan telah dihantar kepada rakan sejawatnya di Indonesia susulan arahan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya penyelarasan dibuat dengan rakan sejawat dalam Asean bagi menyelesaikan masalah jerebu merentas sempadan.

Sementara itu, berdasarkan data ASMC terbaru, tiada titik panas dikenal pasti di semenanjung Malaysia berbanding lebih 10 lokasi pada 26 Sept hingga 29 Sept. Namun, masih terdapat beberapa kawasan titik panas di Sabah dan Sarawak yang berisiko rendah.

ASMC ialah program kerjasama serantau di kalangan Perkhidmatan Meteorologi Negara (NMS) negara anggota Asean dan berada di bawah Perkhidmatan Meteorologi Singapura.

Meenakshi dalam pada itu, berkata negara-negara Asean perlu bekerjasama untuk menyelesaikan isu jerebu ini.

"Kita ada jawatankuasa alam sekitar bagi negara-negara Asean yang bertahun-tahun berbincang mengenai jerebu. 

"Tapi, sehingga hari ini tiada penyelesaian. Kenapa isu ini perlu masa yang panjang untuk diselesaikan. 

"Kesemua negara Asean khususnya yang sering terjejas dengan jerebu perlu ada niat untuk selesaikan masalah ini," katanya.