Keluarga Altantuya bimbang keselamatan mereka di M'sia
Keluarga Altantuya Shaariibuu berkata mereka bimbang keselamatan diri mereka di Malaysia selepas perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia itu telah ditangguhkan kepada 18 Jun.
Keluarga Altantuya Shaariibuu berkata mereka bimbang keselamatan diri mereka di Malaysia selepas perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia itu telah ditangguhkan kepada 18 Jun.
Bapa Altantuya dan dua orang sepupunya merupakan saksi utama dalam perbicaraan terhadap Abdul Razak Baginda, seorang penganalisa politik yang mempunyai kaitan rapat dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Abdul Razak.
"Mereka merasa terancam dan bimbang untuk tinggal di sini," kata Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia, Syed Abdul Rahman AlHabshi bagi pihak Shaariibuu Setev, 55, yang tidak tahu berbahasa Inggeris.
Menurut APF, Shaariibuu dan dua anak saudaranya akan tinggal di Malaysia sementara menunggu perbicaraan kes itu disambung pada 18 Jun ini, kata Syed Abdul Rahman.
Sementara itu, bapa Altantuya, Shaariibuu Setev, yang tiba di negara ini Jumaat lalu sebagai salah seorang saksi pendakwa keliru dengan pertukaran pada saat akhir pasukan pendakwaraya yang akan mengendalikan kes pembunuhan anaknya, sehingga menyebabkan perbicaraan hari ini terpaksa ditangguhkan.
Syed Abdul Rahman yang bercakap bagi pihak beliau berkata, Shaariibuu juga melahirkan rasa tidak puas hati dengan alasan pihak pendakwa raya memerlukan lebih banyak masa untuk mengendalikan kes itu kerana pasukan itu hanya mengambilalih kes itu semalam.
Shaariibuu tiba ke Malaysia bersama tiga orang sepupu Altantuya iaitu Burmaa, Almira, Gal Ochir, yang juga menjadi saksi pendakwa bagi kes itu.
Kedatangan mereka untuk menghadiri perbicaraan itu selama lapan hari dibiayai oleh Kerajaan Malaysia, kata Syed Abdul Rahman.
Menurut laporan Bernama beliau berkata, disebabkan kes ini ditangguhkan selama dua minggu lagi, maka mereka mungkin terus berada di negara ini sehingga kes itu disambung semula.
Manakala Karpal Singh selaku penguam pemerhati bagi keluarga Altantuya berkata Peguam Negara sepatutnya membenarkan barisan pendakwaraya sebelum ini untuk terus mengendalikan kes tersebut.
Jika pertukaran perlu dilakukan, katanya, notis mengenainya hendaklah diberikan selewat-lewatnya satu bulan sebelum perbicaraan kes itu hari ini.
Anwar kesal
Sejurus prosiding bermula, Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun
Hamzah memberitahu Hakim Mohd Zaki Md Yassin bahawa beliau dan dua lagi pendakwa, Manoj Kurup dan Wong Chiang Keat, baru dilantik lewat petang semalam.
Sebelum ini, pendakwaan kes itu dikendalikan Ketua Unit Kes Terkelas
dari Jabatan Peguam Negara Sallehuddin Saidin dan Timbalan Pendakwa Raya
Noreen Badaruddin.
Sementara itu, Ketua Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyuarakan rasa kesalnya atas tindakan Jabatan Peguam Negara yang disifatkannya "tidak bertanggungjawab dan tidak munasabah" menukar pendakwaraya pada saat akhir untuk kes yang begitu penting.
"Bukan sahaja rakyat Malalysia, malah seluruh dunia sekarang memerhatikan kes ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kemusykilan juga berlaku mengapa peguambela Zulkifli Noordin menarik diri daripada perbicaraan.
"Kenyataan beliau membuktikan wujudnya campurtangan pihak ketiga sehingga mempersulitkan tugas beliau.
"Harus ingat bahawa kes ini juga meletakkan system kehakiman negara diperbicarakan," katanya.

