Bekas pengerusi MIC Negeri Sembilan letak jawatan, keluar parti
Bekas pengerusi MIC Negeri Sembilan L Manickam telah meletakkan jawatan dan keluar daripada parti komponen BN berkuat kuasa serta-merta.
Manickam, yang juga mengetuai MIC bahagian Jempol, mengumumkan keputusannya menerusi catatan di Facebook hari ini.
Dia turut menyiarkan surat yang ditujukan kepada Presiden MIC SA Vigneswaran.
Dalam suratnya, Manickam, bekas Adun Jeram Padang dua penggal, memetik dua sebab keputusannya, termasuk keputusan MIC memberi laluan di kerusi itu untuk Umno bertanding pada pilihan raya negeri lalu.
"Kami dimaklumkan dalam mesyuarat CWC (jawatankuasa kerja pusat) MIC bahawa BN tidak menawarkan kerusi dan Umno pula tuntut DUN Jeram Padang.
"Atas sebab itu, saya juga turut menyokong keputusan MIC untuk tidak bertanding (PRN)," katanya pada surat bertarikh hari ini.
MIC dan MCA tidak menyertai enam pilihan raya negeri yang lalu, meninggalkan Umno dalam komponen BN untuk berunding peruntukan kerusi dengan sekutu baru PH.
Manickam berkata dia kemudiannya dimaklumkan bahawa Umno tidak pernah menuntut kerusi DUN Jeram Padang dan MIC Negeri Sembilan merayu untuk mempertahankan kerusi itu, tetapi mendakwa tidak diendahkan.
"Saya sangat kecewa dengan situasi ini," kata bekas exco Negeri Sembilan itu.
Kerusi itu akhirnya dimenangi oleh calon Umno Mohd Zaidy Abdul Kadir.
Selanjutnya, Manickam melahirkan rasa kesal terhadap arahan Setiausaha Agung MIC RT Rajasekaran agar MIC Jempol mengadakan semula mesyuarat bahagiannya, dengan alasan kekurangan korum.
Manickam mendakwa Rajasekaran hanya hadir sebentar pada mesyuarat itu dan gagal menjalankan tugasnya termasuk mengesahkan kehadiran dan korum.
"Saya mohon maaf atas keputusan yang terpaksa saya ambil ini.
"Saya memang berasa berat hati untuk meninggalkan MIC yang telah menjadi rumah kedua saya sejak 45 tahun lepas," kata Manickam, yang pertama kali menyertai MIC pada 1979 sebagai ahli biasa cawangan Jenjaromnya, di bawah bahagian Kuala Langat.
Untuk rekod, Manickam minggu lepas digantikan sebagai pengerusi MIC Negeri Sembilan oleh bekas ketua penerangan kebangsaan parti itu VS Mogan.
/file/1174/1001c4da4ffa098a23b44f398e6c860f.jpeg)
