MIC menafikan parti itu memberikan gambaran tidak tepat pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) berhubung keputusan untuk tidak bertanding di DUN Jeram Padang pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Setiausaha Agungnya, RT Rajasekaran berkata parti itu membuat keputusan untuk memberi laluan kepada Umno kerana tidak yakin dapat memenangi kerusi berkenaan, selain perkara itu diakui sendiri oleh bekas Pengerusi MIC Negeri Sembilan, L Manickam yang membuat keputusan keluar parti itu semalam.

Katanya, semasa mesyuarat MIC pada 30 Jun, presiden parti SA Vigneswaran telah bertanya secara khusus kepada Manickam selaku penyandang kerusi itu selama dua penggal sama ada mahu bertanding di kerusi berkenaan atau sebaliknya.

"Manickam dengan jelas menyatakan bahawa tidak pasti tentang peluang kemenangan di kerusi tersebut dan bersetuju untuk mengikuti sebarang keputusan yang diambil oleh parti pada mesyuarat tersebut.

Rajasekaran berkata mesyuarat CWC mengambil keputusan tidak bertanding pada PRN di Negeri Sembilan kerana tidak diberikan sebarang kerusi di lima negeri yang lain, selain tidak berbaloi untuk bertanding di Jeram Padang kerana peluang kemenangannya tipis.

"Oleh itu, ahli CWC termasuk Manickam sebulat suara memutuskan parti tidak akan bertanding pada PRN kerana peluang kemenangannya tipis," katanya sambil menambah keputusan CWC itu juga dikongsikan menerusi kenyataan media.

Bagaimanapun Rajasekaran berkata selepas keputusan CWC itu, Manickam berjumpa presiden di kediamannya dan menyatakan hasrat untuk bertanding di Jeram Padang.

"Presiden kemudian meminta Manickam untuk menghantar permintaannya dalam kumpulan WhatsApp CWC.

"Sekali lagi, ahli CWC sebulat suara menyatakan bahawa MIC tidak sepatutnya bertanding di mana-mana kerusi DUN sekali gus mengekalkan keputusan yang diambil dalam mesyuarat pada 30 Jun itu," katanya.

Semalam, Manickam yang juga mengetuai MIC bahagian Jempol mengumumkan keputusan meletakkan jawatan dan keluar daripada parti itu berkuatkuasa serta-merta.

Dia memberikan dua alasan berbuat demikian termasuk keputusan MIC menyerahkan kerusi DUN Jeram Padang untuk ditandingi Umno pada PRN yang lalu.

Manickam yang merupakan ahli MIC sejak tahun 1979 berkata pucuk pimpinan parti itu tidak memberikan maklumat yang tepat berhubung kerusi itu dalam mesyuarat CWC parti.

Sementara itu, Rajasekaran juga menafikan dakwaan Manickam bahawa dia hanya hadir sebentar dalam mesyuarat agung tahunan (MIC) bahagian MIC Jempol serta gagal mengesahkan kehadiran dan korum sehingga menyebabkan mesyuarat itu gagal diadakan.

"Ini adalah kenyataan palsu. Saya berhak untuk mengambil tindakan lanjut terhadapnya kerana membuat naratif palsu tentang saya," katanya.

Menurut Rajasekaran, dia berada di AGM bahagian Jempol 15 minit sebelum mesyuarat dimulakan dan memberi salam kepada semua yang berada di situ. Bagaimanapun, katanya, AGM itu tidak dapat diadakan kerana korum tidak mencukupi.

"Mengikut Perlembagaan MIC, bahagian ini terdiri daripada 44 cawangan dan 79 perwakilan sepatutnya menghadiri mesyuarat tersebut.

“Bagaimanapun, daripada gambar-gambar yang disertakan, adalah jelas bahawa AGM bahagian tidak mencapai korum tersebut.

"Sebagai Setiausaha MIC, saya telah mengarahkan MIC bahagian Jempol untuk mengadakan semula AGM," katanya.

Pada PRN di enam negeri, MIC mengambil keputusan tidak bertanding selepas mendakwa diketepikan dalam soal pembahagian kerusi.

Ketika itu, Vigneswaran berkata BN tidak pernah membincangkan untuk memberi kerusi kepada MCA dan MIC khususnya di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Katanya, selain itu Umno juga tidak bersungguh-sungguh ketika mengadakan perbincangan kerusi dengan Pakatan Harapan (PH) bagi pihak MCA dan MIC.