Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS sedang mengadakan perbincangan serius mengenai peruntukan kerusi untuk ditandingi di seluruh negara dalam pilihanraya umum akan datang bagi mengelak 'mereka bertanding sesama sendiri'.

Pengerusi PKR Pulau Pinang, Zahrain Mohamad Hashim berkata, ketiga-tiga parti itu perlu mencari satu penyelesaiannya bagi memastikan pilihanraya umum kali ini menyaksikan perlawanan satu lawan satu antara barisan pembangkang dengan Barisan Nasional (BN).

Di Pulau Pinang contohnya, dalam pilihanraya umum 2004, DAP and PKR tewas kepada BN di kerusi Parlimen Batu Kawan dan kerusi negeri bagi Bagan Dalam, Bukit Tambun dan Sungai Pinang.

Bagaimanapun, kali ini, parti-parti pembangkang akan memastikan setiap pertandingan membabitkan satu lawan satu antara pembangkang dengan BN.

Pulau Pinang mempunyai 13 kerusi Parlimen dan 40 kerusi negeri. PKR hanya menang kerusi Parlimen Permatang Pauh melalui Presidennya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, walaupun parti itu bertanding di lima kerusi Parimen dan 16 kerusi negeri pada 2004.

Zahrain berkata, parti itu mahu mengekalkan kehadirannya, terutama jika pilihanraya umum diadakan selepas April tahun depan di mana Ketua PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah boleh bertanding di Pulau Pinang seperti yang dirancangnya.

Anwar dilarang aktif dalam politik selama lima tahun sehingga April tahun depan selepas disabit hukuman salahguna kuasa sebelum ini.

Barisan pembangkang

"Semua parti (pembangkang) telah bersetuju pada dasarnya untuk Anwar mengetuai satu barisan gabungan pembangkang dalam pilihanraya umum akan datang. Ini akan membantu meningkatkan prestasi PKR berbanding dengan 2004," kata Zahrain.

Setiausaha DAP Pulau Pinang, Danny Law Heng Kiang pula berkata, partinya akan bertanding di lebih 20 kerusi negeri, dan salah satu daripadanya dijangka ditandingi oleh Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.

Pada 2004, DAP memenangi kerusi Parlimen Bagan, Bukit Mertajam, Bukit Mertajam, Bukit Gelugor dan Tanjong dan kerusi negeri Sungai Puyu.

Law berkata, sebelum ini berlaku pertandingan tiga penjuru dengan PKR kerana terdapat beberapa bekas pemimpin DAP Pulau Pinang dalam PKR ketika itu, tetapi kini mereka tidak ada lagi.

Menurutnya, barisan pembangkang sudah matang untuk duduk semeja bagi mencapai kata sepakat mengenai peruntukan kerusi dalam pilihanraya umum akan datang.

"Kita tidak ada sebarang masalah dengan PAS dan hanya sedikit masalah kecil dengan PKR yang boleh diselesaikan dengan mudah," katanya.

Law berkata, parti yang mempunyai peluang cerah untuk menang akan meletakkan calon mereka dan barisan pembangkang akan menyokongnnya.

Spekulasi semakin kencang bahawa pilihanraya mengejut akan diadakan pada tahun in juga walaupun mandat kerajaan sekarang hanya tamat pada 2009. Berita asal