Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lima kapal tempur LCS hanya akan siap pada 2029 - PAC
Diterbitkan:  Oct 9, 2023 6:35 PM
Dikemaskini: 10:35 AM

Pembinaan lima kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hanya dijangka siap pada 2029 berbanding tempoh penyerahan aset berkenaan sepatutnya pada 2022.

Menurut laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), hari ini, tempoh masa pembinaan LCS dilanjutkan kepada 83 bulan.

PAC menerusi laporan yang disiarkan di laman web Parlimen menyatakan bahawa Kementerian Pertahanan (Mindef) perlu memastikan pelaksanaan pelan mobilisasi mengikut syarat yang ditetapkan dengan kapal pertama LCS disiapkan pada Mei 2024 dan diserahkan kepada TLDM pada Ogos 2026.

"Mindef dan TLDM bertanggungjawab memastikan keseluruhan projek pembinaan lima buah LCS bernilai RM11.22 bilion disiapkan serta diserahkan kepada TLDM mengikut tempoh dan kos yang telah dipersetujui dalam SA 6 (Supplemental Agreement)," menurut laporan itu.

Laporan itu juga mendedahkan bahawa isu utama berkaitan reka bentuk terperinci LCS belum diselesaikan yang mana kadar siap di peringkat kontraktor pembinaan kini 96 peratus dan hanya 84 peratus telah melalui peringkat pengesahan, verifikasi dan kelulusan oleh pihak Naval Group dari Perancis sebagai penguasa reka bentuk LCS.

Berikutan itu, PAC mengesyorkan Mindef memastikan kontraktor pembinaan menyiapkan reka bentuk terperinci sepenuhnya termasuk mendapat kelulusan daripada Naval Group sebelum Ogos 2024 seperti yang terkandung dalam SA 6.

Selain itu, jawatankuasa berkenaan turut mengesyorkan kementerian dan agensi kerajaan memastikan draf kontrak yang dirunding dengan syarikat telah dirujuk dan disemak sebagai teratur serta mendapat persetujuan Jabatan Peguam Negara sebelum ditandatangani.

"Perjanjian SA 6 yang ditandatangani pada 26 Mei 2023 tidak mendapat persetujuan AGC dan Mindef telah dimaklumkan agar perlu ada tindakan lanjut sebelum dokumen berkenan dikembalikan kepada AGC untuk ditandangani.

"Keputusan Mindef membelakangkan AGC dalam menandatangani SA 6 ialah satu tindakan yang tidak wajar kerana ia boleh memberikan implikasi perundangan kepada kerajaan dan ia tidak boleh berulang," menurut PAC.

Mengenai keputusan kerajaan mengambil alih Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) melalui Ocean Sunshine Bhd (SPV), PAC berpendapat ia dapat membantu mengembalikan kepercayaan pemegang saham, pihak bank dan pihak pembekal dalam pelaksanaan projek pembinaan LCS.

Laporan tersebut juga mengesyorkan Jabatan Audit Negara menjalankan pengauditan sebelum LCS 1 diserahkan kepada TLDM dan membentangkannya di Parlimen.

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk mengurangkan bilangan LCS daripada enam kepada lima berikutan pembinaan blok LCS 6 belum dimulakan dengan kos keseluruhan pembinaan kelima-lima kapal adalah RM11.22 bilion iaitu pertambahan sebanyak RM2.098 bilion.

- Bernama

Lihat Komen
ADS