Menteri nafi tak ambil kira pandangan AGC isu perjanjian LCS
Menteri Pertahanan Mohamad Hasan menegaskan bahawa kementeriannya telah mengambil kira semua pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) ketika membuat perjanjian mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS).
Ini berlaku selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya yang diterbitkan hari ini mendakwa kementerian itu telah menandatangani perjanjian tambahan keenam yang ditandatangani bersama Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd pada Mei tanpa kelulusan AGC.
“Laporan itu mengatakan bahawa kami tidak mengambil kira pandangan AGC. Itu salah sama sekali kerana dalam proses dan rundingan ada wakil Peguam Negara. Dasar-dasar AGC pun kita telah guna pakai.
"Tetapi (mengenai) mendapat (kelulusan) hitam putih daripada AGC sebelum menandatangani perjanjian tambahan keenam, saya fikir itu adalah terlepas pandang di pihak kami," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
PAC dalam laporannya yang diterbitkan hari ini berkata bahawa Kementerian Pertahanan dimaklumkan ia perlu mengambil tindakan selanjutnya dan menyerahkan perjanjian tambahan keenam kepada AGC untuk kelulusan sebelum ia ditandatangani.
Perjanjian tambahan keenam itu ditandatangani pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (Lima 2023) pada Mei.
Menurut pemfailan syarikat induk Boustead Holding kepada Bursa Malaysia, kontrak tambahan keenam memerlukan anak syarikatnya, Boustead Naval Shipyard (BNS) untuk menghantar lima LCS dan bukannya enam.
Jumlah harga kontrak disemak kepada RM11.2 bilion, meningkat daripada RM9 bilion sebelumnya. Kerajaan telah pun mengeluarkan RM6 bilion.
Projek LCS bermula pada 2013 tetapi selepas RM6 bilion dibelanjakan, BNS terlepas tarikh akhir 2019 untuk menghantar kapal pertama.
PAC berkata dalam laporannya bahawa tiada kemajuan dalam pembinaan kapal LCS sejak lawatannya pada 11 Dis 2021.
Jawatankuasa itu mengadakan lawatan kerja untuk meninjau kemajuan kerja-kerja pembinaan dan penyimpanan LCS pada 10 Jun tahun ini, yang diikuti dengan prosiding jawatankuasa.
Justeru, ia menasihatkan Kementerian Pertahanan supaya mematuhi dan memastikan syarat yang disenaraikan dalam kontrak tambahan keenam dipenuhi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/09/2e7e997a7b14697a21433bc8c6ce9f59.jpg)
