RUU Generasi Penamat: PSSC syor tangguh penguatkuasaan
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) mengenai Kesihatan telah mengesahkan rang undang-undang untuk mengawal selia rokok dan vape, termasuk generasi penamat (GEG) untuk memastikan mereka yang lahir selepas 2007 tidak mula merokok.
Bagaimanapun, PSSC mengesyorkan supaya penguatkuasaan seksyen rang undang-undang, yang akan menghukum kumpulan remaja tersebut kerana merokok, ditangguhkan.
Ini adalah pada Seksyen 18 dan 19 rang undang-undang itu, yang melarang belia yang lahir selepas 2007 dan seterusnya daripada menghisap produk tembakau atau pengganti tembakau.
PSSC berkata penguatkuasaan kedua-dua seksyen ini perlu ditangguhkan ke tarikh kemudian, atau sehingga laporan berkala yang diperlukan oleh rang undang-undang itu dibentangkan.
"Sehingga itu, pelaksanaan (GEG) melalui pendidikan akan diteruskan," kata jawatankuasa itu dalam laporan semakan rang undang-undang itu.
Laporan berkala itu, seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 56 rang undang-undang itu, memerlukan laporan pertama disiapkan sebelum 1 Jan 2025.
Rang undang-undang itu menyatakan bahawa laporan berkala itu adalah untuk mengukur keberkesanan sekatan terhadap merokok dan vape dan penjualan tembakau dan produk berkaitan nikotin.
Kementerian Kesihatan telah menugaskan PSSC untuk mengkaji semula Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam pada bulan Jun.
Rang undang-undang itu sepatutnya dibahaskan pada hari Selasa tetapi telah ditangguh ke tarikh yang tidak ditentukan.
Selain menangguhkan penguatkuasaan aspek GEG dalam rang undang-undang itu, PSSC itu juga turut mengesyorkan hukuman di bawah Seksyen 18 dan 19 diturunkan daripada RM500 kepada RM250.
Sebaliknya, PSSC itu juga mengesyorkan denda terhadap syarikat yang melanggar peraturan mengenai pendaftaran, pengiklanan, promosi, jualan, anugerah, pembungkusan dan pelabelan - antara lain - dinaikkan.
Bagi vape pula, PSSC mengesyorkan Kementerian Kesihatan mengkaji penggunaannya sebagai kaedah untuk berhenti menghisap rokok, tetapi sebarang penggunaan mesti dikawal selia.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/08/2fd189a1e5bbb88cc2018cd2107a8664.jpg)
