Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail telah menggantikan pendakwaraya dalam perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, kerana beliau mahu memastikan ia dijalankan secara adil.

Perbicaraan kes itu yang membabitkan penganalisa politik Abdul Razak Baginda, teman rapat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dijadualkan bermula semalam.

Tetapi apabila kes itu bermula semalam, pihak pendakwaraya memohon ia ditangguhkan kerana mereka baru sahaja ditugaskan sehari sebelumnya untuk menjalankan pendakwaan dalam kes tersebut.

Abdul Gani berkata, beliau melantikan pasukan pendakwaraya yang baru untuk mengendalikan kes itu bagi memastikan 'perbicaraan yang adil' bagi semua pihak, katanya dalam laporan akhbar New Straits Times.

Menurut laporan itu lagi, Abdul Gani enggan mengulas lanjut.

"Saya mahu orang awam tahu apa yang sebenarnya berlaku dan bagaimana polis menyiasatkan kes tersebut," katanya dalam laporan tersebut.

Abdul Gani tidak dapat dihubungi untuk mengulas mengenai laporan tersebut.

Sebaik sahaja perbicaraan bermula pagi semalam, Tun Abdul Majid memberitahu Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin bahawa beliau baru dilantik semalam oleh Pejabat Peguam Negara.

Teliti kenyataan saksi

Ekoran itu, Tun Majid kemudian memohon penangguhan selama sebulan bagi memberi peluang pihak pendakwa meneliti lebih 100 kenyataan saksi.

Tun Majid Tun Hamzah dibantu oleh Timbalan Pendakwaraya Manoj Kurup.

"Saya hanya dimaklumkan mengenainya petang semalam ketika saya dalam perjalanan pulang ke rumah. Saya tidak dapat menjalankan pendakwaan kes ini dengan notis yang begitu singkat," katanya kepada mahkamah.

Mohd Zaki Md Yasin kemudiannya menangguhkan perbicaraan kes itu kepada 18 Jun ini.

Katanya, dengan mengambilkira kehadiran saksi-saksi rakyat asing, beliau hanya membenarkan ianya ditangguhkan selama dua minggu sahaja.

Beliau juga menolak permohonan peguambela Wong Kian Kheong supaya Abdul Razak Abdullah yang dituduh bersubahabat dengan dua anggota polis membunuh Altantuya, 28, dibenarkan ikat jamin.

Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, dari Unit Tindakan Khas (UTK) dituduh membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja, dekat Shah Alam, antara jam 10 malam 19 Oktober dan jam 1 pagi 20 Oktober tahun lalu. AFP Berita asal