Siasatan terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng Chong Hwa, akan menjurus kepada modus operandi penjualan nota sekuriti dan bon milik lelaki itu, yang dipercayai menggunakan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
Tanpa mendedahkan nilai keseluruhan aset milik Roger Ng, beliau berkata maklumat mengenai modus operandi itu penting, termasuk mengetahui jika terdapat individu lain yang terlibat.
“Kami akan menyoal siasat Roger Ng pada hari ini dan melihat modus operandi penjualan bon dan berapa komisen yang diterimanya.
“Selain itu, polis juga akan membeku dan menyita segala akaun dan aset yang dimiliki oleh Roger Ng di luar negara, termasuk aset fizikal seperti pembelian rumah, kereta dan bangunan, serta aset bukan fizikal seperti akaun bank yang dimilikinya di sana (luar negara),” katanya.
Bercakap pada sidang media khas di Bukit Aman hari ini, Razarudin berkata susulan penahanan Roger Ng, pihaknya menjangkakan lebih banyak aset berkaitan 1MDB di luar negara, akan diperoleh semula.
Beliau berkata lelaki itu kini dalam tahanan dan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan tiada had masa yang diberi untuk polis menjalankan siasatan sebelum diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.
Media tempatan melaporkan, Roger Ng yang dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun di New York, Amerika Syarikat kerana membantu menggelapkan berbillion dollar dana 1MDB, dibawa pulang ke Malaysia oleh pasukan khas PDRM bagi membantu siasatan pihak berkuasa negara ini, berkaitan 1MDB.
Pada 19 Dis 2018, Roger Ng mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs, berhubung penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion dengan menggugurkan fakta material dan membuat kenyataan palsu.
Pada 9 Jan lepas, Mahkamah Tinggi di Amerika Syarikat melepas tanpa membebaskan (DNAA) Roger Ng daripada empat pertuduhan bersubahat dengan syarikat itu, berhubung penjualan nota sekuriti dan bon bernilai AS$6.5 bilion milik anak syarikat 1MDB.
“Kami mengharapkan kerjasama yang baik daripada Roger Ng dan kita dimaklumkan bahawa dia telah dijatuhkan hukuman di Amerika Syarikat selama 10 tahun, dan kita dibenarkan bawa balik Roger Ng untuk siasatan 1MDB,” kata Razarudin.
- Bernama
