Ketua Polis Negara Razarudin Husain memaklumkan tiada keperluan untuk bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng yang kini berada di Malaysia memakai alat pemantauan elektronik (EMD).

Jelasnya, hasil soal siasat, polis mempunyai pemahaman yang jelas tentang keberadaan Roger Ng, 51 tahun, jadi dia tidak perlu memakai alat pemantauan elektronik.

"Buat masa ini tiada keperluan untuk kita memasang EMD. Sekiranya ada keperluan, kita akan pasang.

"Bagaimana dia di AS (Amerika Syarikat) dipasang EMD, itu atas keperluan disebabkan dia sudah dijatuhkan hukuman tetapi pada masa itu, pihak AS memasang EMD," katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Razarudin berkata atas sebab keselamatan, polis tidak akan mendedahkan lokasi Roger Ng yang sedang disiasat pihak berkuasa.

"Berdasarkan risikan dan kepentingan siasatan kita memutuskan untuk tidak mendedahkan dia di mana.

"Kita lebih tahu (keselamatan Ng) berdasarkan maklumat keselamatan ini lebih daripada dirinya sendiri,” katanya lagi.

Razarudin berkata, Roger Ng sampai di negara ini, kelmarin sebelum ditahan PDRM semalam dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (pecah amanah).

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Dari Aktiviti Haram 2001," katanya.

"Siasatan ke atas Roger Ng tiada had masa atau 'time limit'.

"Siasatan akan berjalan sehingga kita berpuas hati sebelum kita benarkan dia diserahkan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan SC (Suruhanjaya Sekuriti) untuk siasatan pihak mereka pula," katanya lagi.

Ketua polis negara juga berharap pihak berkuasa akan mendapat kerjasama daripada Roger Ng termasuk membawa kepada siasatan suspek lain serta maklumat lanjut tentang keberadaan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

"Kita perlu melihat kepada modus operandi Roger Ng, bagaimana bon ini dijual dan berapa komisen yang diperoleh daripada aktiviti itu.

"Menerusi itu, kita percaya akan membawa kepada aset 'recovery' (mendapatkan semula) tentang aset hasil penyelewengan dana 1MDB dalam bentuk fizikal serta aset non-fizikal.

"Kita ketahui ada lagi banyak lagi aset-aset lain yang kita perlu buat 'recovery' (dapatkan semula) mungkin ada bangunan atau rumah atau kenderaan yang dibeli," katanya.

Ketika ditanya perkembangan siasatan terhadap seorang lagi individu yang terlibat dalam kes 1MDB iaitu bekas peguam 1MDB Jasmine Loo, Razarudin berkata polis masih belum mempunyai maklumat lanjut untuk diberitahu.

Razarudin menegaskan mereka sedang berusaha mendapatkan semula aset yang didedahkan Jasmine Loo (gambar, atas) berkaitan 1MDB sebelum ini, berupa RM93.2 juta di Singapura dan Amerika Syarikat.

Pihak berkuasa, bagaimanapun, tidak berjaya mengesan Loo sehingga Julai lepas, apabila mereka mengambilnya di sebuah lokasi di Kuala Lumpur. Dia telah menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan polis bagi membantu siasatan kes 1MDB.

Pada 4 September, Loo memberikan maklumat kepada polis, mendedahkan bahawa aset yang dibeli dengan dana 1MDB yang diselewengkan melebihi nilai keseluruhan lebih RM93.2 juta.